APA ITU PEPIAS???

PEPIAS merupakan akronim daripada nama Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan mana sebelum ini dikenali sebagai Persatuan Kebajikan Dan Pendidikan Islam Selangor Darul Ehsan.
PEPIAS telah bertapak sebagai penubuhan yang sah pada tanggal 1 OKTOBER 1992 setelah mula bergerak sejak 1971.


PEPIAS berasaskan DUA GAGASAN iaitu KEBAJIKAN dan PENDIDIKAN ISLAM. PEPIAS lebih menumpukan kepada sasaran sekolah rendah dan sekolah menengah. "meluntur buluh biar dari rebungnya".

PEPIAS telah mempunyai 7 cawangan berdaftar yang mana salah satunya ialah PEPIAS Cawangan Bangi yang bertapak di KUIS, Bangi.

Friday, June 26, 2009

Rejab : Pengertian, Peristiwa Penting & Amalan

Pengertian

Rejab bermakna kebesaran atau kemuliaan dan ia membawa maksud bulan yang dibesarkan atau dimuliakan. Masyarakat Jahiliyah menamakan bulan ini dengan bulan Rejab kerana mereka memulia dan menghormati bulan ini dengan mengharamkan berperang di dalamnya. Dan Rasulullah SAW mengekalkan nama ini dan mengharamkan pertumpahan darah di bulan Rejab. Dan bagi umat Islam, kita memperingati dan memuliakan Rejab sempena dengan peristiwa besar yang berlaku kepada Rasulullah SAW iaitu peristiwa Isra' dan Mi'raj.


Peristiwa Penting

1.Hijrah Pertama Hijrah ke Habsyah (Ethiopia)
Pihak musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Rasulullah SAW dan mereka yang beriman kepada Rasulullah SAW pada ketika itu. Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang derita yang mereka tanggung lalu Rasulullah SAW memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.

Tujuan hijrah ini adalah untuk menyelamatkan iman dan keselamatan diri di samping untuk mencari tapak baru untuk Islam bertapak dan menyusun langkah untuk agenda seterusnya. Diantara mereka yang berhijrah ke Habsyah ialah Saidina Othman RA dan istrinya Roqiah anak Rasulullah SAW. Jumlah mereka adalah 14 orang termasuk 4 orang wanita. Habsyah dipilih adalah kerana rajanya dikenali dengan toleransi dan sikap terbukanya.


2. Isra' dan Mi'raj
Isra'dan Mi'raj ertinya Rasulullah SAW dijalankan dari Mekah ke Baitulmuqaddis di waktu malam dan diangkat ke langit bertemu Allah SWT dan untuk mengambil kewajipan solat 5 waktu dari Allah SWT. Dalam menentukan tarikh bila berlakunya peristiwa ini, sebahagian ulama mengatakan pada 27 RabiulAkhir; sebahagian ulama mengatakan pada 17 RabiulAwal; sebahagian ulama mengatakan 29 Ramadhan; sebahagian ulama mengatakan pada 27 Rejab dan sebahagian ulama yang lain mengatakan pada tanggal-tanggal selain dari yang tersebut.

Menurut Chalil, 1999 sebagaimana yang dijelaskan oleh Dr.(H) Hj. Kassim Bahali, ada setengah ulama mengatakan pada malam tanggal 7 RabiulAwal. Adapun yang terbanyak ialah golongan yang mengatakan pada tanggal 27 Rejab, sekalipun tidak dengan alasan yang kuat.

Tahun berlakunya juga terdapat perselisihan pendapat ulama, ada sebahagian yang mengatakan pada tahun ke 5 dari Bi'tsah (tahun mula diutusnya peribadi Nabi), sebahagiannya berpendapat pada tahun ke 12 dari Bi'tsah; sebahagiannya berpendapat pada tahun sebelum Nabi hijrah ke Thaif, sebahagian berpendapat pada tahun ketiga sebelum hijrah Nabi S.A.W ke Madinah dan ada yang sebahagiannya pula berpendapat lain dari semuanya itu. Bagaimanapun seorang ahli sejarah Islam bernama Ibnu Saad telah mencatatkan dalam kitabnya "At-Tobaqatil Qubra", bahawa berlaku israk mikraj terhadap Nabi s.a.w. ialah pada lapan belas bulan sebelum Nabi S.A.W. hijrah ke Madinah dalam satu peristiwa yang amat bersejarah itu.(Tazkirah, Pusat Zakat N. Sembilan)

3. Perang Tabuk
Tabuk adalah mengambil nama sempena nama satu tempat di Utara Semenanjung Arab di mana Rasulullah SAW dan 30 ribu tentera Islam berkumpul. Tidak berlaku pertempuran kerana tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dan gerun kepada kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi berbagai kesukaran.

http://www.ezsoftech.com/ramadan/i/baitul_muqaddas.jpg


4. Pembebasan Baitul-Muqaddis
Baitul Muqaddis telah dibuka pada zaman Saidina Umar Al-Khattab RA di zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan perpecahan uamat Islam di zaman pemerintahan Abasiyah, umat Kristian (tentera Salib) telah melakukan serangan demi serangan ke atas Baitul Muqaddis dan akhirnya dapat menawan kota suci Baitul Muqaddis setelah 500 tahun dikuasai oleh pemerintahan Islam. Tentera Salib telah menduduki Baitul Muqaddis hampir 60 tahun sebelum dibebaskan kembali oleh panglima Islam terkenal Salehuddin Al-Ayubi. Beliau telah berjaya menawan kembali Baitul Muqaddis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H. Dan pada tahun 1967 bersamaan 1387H umat Yahudi pula menawan Baitul Muqaddis (Palestin) dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.

5. Lahirnya Imam Syafie RH.
Nama sebenar Imam Syafie RH ialah Muhammad bin Idris. Beliau lahir di Ghuzah, Palestin pada tahun 150H bersamaan 767 Masehi dalam bulan Rejab. Beliau adalah salah seorang dari empat imam mazhab yang besar dalam dunia Feqah. Malaysia mengamalkan mazhab Syafie. Diantara peninggalan imam Syafie RH yang tiada ternilai harganya dan menjadi rujukan sehingga sekarang ialah kitab al-Umm.



Amalan

Tiada amalan khusus untuk bulan Rejab yang diriwayatkan dari Rasulullah SAW yang dijumpai di dalam mana-mana hadis shahih. Penulis berpendapat ada hikmahnya kenapa Allah SWT, Rasulullah SAW dan para sahabat RA tidak memberitahu tarikh dan tahun berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj. Rasulullah SAW tidak mahu umatnya menetapkan ibadat-ibadat tertentu di bulan Rejab khasnya pada hari dan malam berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj itu.

Ini untuk mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang diada-adakan (bid'ah) dan perbuatan membeza-bezakan kemuliaan satu-satu bulan. Namun begitu ada pendapat yang meriwayatkan tentang amalan-amalan sunat tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab dan umrah Rejab. Pendapat ini adalah bersandar kepada hadis-hadis lemah.

Terlalu banyak amalan-amalan sunat yang umum yang masih kita belum berkesempatan untuk mengamalkannya boleh kita praktikkan di bulan Rejab ini sebagai persediaan kita menjelang Ramadhan al-Mubarak. Diantaranya solat malam, qiamul-lail, puasa Isnin dan Khamis, tadarrus al-Qur'an dan lain-lain lagi. Di sini penulis ingin menyarankan agar pada akhir bulan Jamadilakhir khasnya pada 29 Jamadilakhir, kita bolehlah melatih mata kita untuk menjejaki hilal. Proses melatih mata untuk merukyah hilal boleh dimulakan 20 minit sebelum Maghrib sehinggalah 20 minit selepas maghrib dengan memerhatikan ufuk Barat sekitar tempat matahari terbenam. Ini boleh dilakukan dengan mata kasar tanpa menggunakan sebarang alat kecuali untuk melihat matahari perlukan penapis (solar filter).

Bagi mereka yang mempunyai teleskop atau teodolite ataupun binocular, inilah masanya untuk menguji peralatan dan kemahiran masing-masing agar pada hari cerapan hilal Sya'ban, Ramadhan dan Syawal kita tidak menghadapi masaalah dalam melakukan cerapan hilal. Dan sebenarnya Rasulullah SAW sendiri amat mengambil berat tentang kedudukan bulan pada setiap akhir bulan khasnya apabila menjelangnya bulan Rejab dan bulan-bulan seterusnya.

Sumber Disediakan oleh:
Bahagian Falak dan Sumber Maklumat Jabatan Mufti Negeri Melaka
www.al-azim.com


Pernah diterbitkan:
http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=571

Mulianya Wanita

Allah swt tidak menjadikan nabi di kalangan wanita. Tetapi Allah swt memuliakan wanita di dalam Al-quran dengan menamakan surah -an nisa’-.
Manusia yang pertama beriman kepada Allah swt selepas Rasulullah saw ialah wanita -Khadijah r.anha-.
Manusia pertama yang syahid kerana agama Allah juga adalah wanita - Sumayyah r.anha-.
Dan Allah juga mengangkat perbuatan Siti Hajar r.anha yang juga seorang wanita yang berlari-lari antara Safa dan Marwah di dalam rukun haji, iaitu saie.
Wanita adalah yang paling mudah memasuki syurga tetapi wanita jugalah yang paling ramai menjadi penghuni neraka. Sabda nabi yang mafhumnya, “Wanita yang solat 5 waktu, berpuasa di bulan Ramadhan dan mentaati suaminya, maka masuklah dia ke syurga melalui mana-mana pintu yang disukainya”.

Masya Allah, senang bunyinya. Tapi hakikatnya tidaklah semudah itu. Jika kita lihat bagaimana pengorbanan Siti Khadijah r.anha, tentunya kita takkan dapat tiru apa yang beliau telah lakukan. Sebelum memeluk Islam dan menjadi isteri Rasulullah saw, beliau ialah seorang hartawan, peniaga yang mashyur dan terkenal. Tetapi sebaik sahaja beliau beriman kepada Allah, seluruh hartanya diinfaqkan(dibelanjakan) ke jalan Allah swt. Sehinggakan di akhir hayatnya, ketika di pangkuan Rasulullah saw, katanya “Ya Rasulullah, jika tulang belulangku ini dapat dijadikan jambatan untuk keluar ke jalan Allah, maka ambillah. Aku redha ya Rasulullah”.

Begitu juga kisah Sumayyah r.anha yang semua ahli keluarganya habis di bunuh oleh pembesar kafir Quraisy. Iman di dadanya sedikitpun tidak goyah hatta nyawanya menjadi korban kerana dia yakin, syurga Allah telah menantinya. Kesabaran dan ketaatan Siti Hajar r.anha kepada suaminya dan iman yang kental terhadap tuhannya, membuatkan beliau tidak sedikit pun gentar ditinggalkan di tengah-tengah padang pasir yang panas, yang tiada asbab untuk hidup bersama bayinya Nabi Ismail a.s yang masih merah. Tetapi Allah maha besar, setiap hamba yang taat kepadaNya akan dibalas dengan kebaikan. Dari hentakan kaki nabi Ismail a.s, maka terpancutlah air zam-zam yang Allah janji tidak akan kering sehingga hari Kiamat.

Sumber - iluvislam.com

Thursday, June 25, 2009


IFTAR JAMAI'E REJAB dan Usrah PEPIAS BANGI Siri 7 Sesi 2009/2010

Assalamualaikum kepada semua keluarga PEPIAS Cawangan Bangi. Dijemput kepada semua ahli PEPIAS untuk hadir ke Usrah PEPIAS BANGI Siri 7 bagi memeriahkan lagi dan mengimarahkan majlis ilmu ini. InsyaAllah usrah kali ini akan dimulakan dengan kita sama-sama akan berpuasa sunat secara berjemaah dan berbuka puasa bersama. Ketetapan seperti berikut :

Tarikh : 29 Jun 2009
Hari : Isnin
Masa : 7.00 malam
Tempat : BT 1254
Bayaran: RM 4 seorang
Sila daftarkan nama anda, bagi yang berminat, berniat dan ikhlas berpuasa pada tarikh tersebut kepada Sdr Afiq dan Sdri Mazlina selewat-lewatnya Sabtu ini. Bayaran boleh dibuat pada hari kejadian.

Semua ahli PEPIAS, anda dijemput hadir. Sekiranya ada ahli baru kami mengalu-alukan untuk turut serta sekali. Dijemput juga kepada semua pelajar baru KUIS sesi 2009/2010. Bagi PEPIAS Pusat dan Cawangan lain dijemput juga unutk hadir. Istiqamahlah dalam majlis ilmu. Perbincangan menarik jika niat baik.

"Amalan Usrah Merapat Ukhwah Mendekati Allah"

p/s= kehadiran usrah siri 6 seramai 42 orang.

-siapa yang belum bayar duit yuran, sila bawa sekali pada malam itu dengan bayaran sebanyak rm5 seorang.
- pada malam itu juga akan diedarkan tabung infak PEPIAS

Monday, June 22, 2009

Program Pengurusan jenazah & Teknik dan Etika Penyembelihan mengikut Syarak


5,257 Pertubuhan Belia didaftarkan di ROY

22/06/2009 2:00pm

KUALA LUMPUR 22 Jun — Sebanyak 5,257 buah pertubuhan telah berdaftar dengan Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) sehingga 16 Jun lepas, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Daripada jumlah yang berdaftar itu, 2,864 adalah daripada pertubuhan sedia ada manakala 2,393 lagi diterima daripada pendaftaran pertubuhan baru, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim.

ROY juga sedang memproses permohonan daripada 692 pertubuhan untuk didaftarkan, katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohd Jidin Shafee (BN-Setiu).

Razali turut memberitahu Dewan Rakyat bahawa sebelum ini sebanyak 3,686 buah pertubuhan belia berdaftar dengan Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS).

“Ini menjadikan jumlah pertubuhan belia yang berjaya dipindah pendaftarannya di ROY ialah sebanyak 77.10 peratus menjadikan baki yang masih belum berpindah pendaftarannya ialah sebanyak 882 buah,” katanya. - Bernama

Sumber - Utusan Online

Sunday, June 21, 2009

Usrah PEPIAS BANGI Siri 6 Sesi 2009/2010

Assalamualaikum kepada semua keluarga PEPIAS Cawangan Bangi.Dijemput kepada semua ahli PEPIAS untuk hadir ke Usrah PEPIAS BANGI Siri 6 bagi memeriahkan lagi dan mengimarahkan majlis ilmu ini. InsyaAllah usrah kali ini akan dikendalikan oleh ABIM Bangi yang dijemput khas untuk bersama-sama dalam usrah ini. Ketetapan seperti berikut :
Tarikh : 22 Jun 2009
Hari : Isnin
Masa : 8.00 malam
Tempat : BT 1212
Tajuk : Usrah Bersama ABIM BANGI
Semua ahli PEPIAS anda dijemput hadir. Sekiranya ada ahli baru kami mengalu-alukan untuk turut serta sekali. Dijemput juga kepada semua pelajar baru KUIS sesi 2009/2010. Bagi PEPIAS Pusat dan Cawangan lain dijemput juga unutk hadir. Istiqamahlah dalam majlis ilmu. Perbincangan menarik jika niat baik.
"Amalan Usrah Merapat Ukhwah Mendekati Allah"
p/s= kehadiran usrah siri 5 seramai 24 orang.
-siapa yang belum bayar duit yuran, sila bawa sekali pada malam itu dengan bayaran sebanyak rm5 seorang.
- pada malam itu juga akan diedarkan tabung infak PEPIAS

Friday, June 19, 2009

PUBLISITI dan PERHUBUNGAN AWAM

Mungkin terlalu muda untuk berkata dalam hal ini, mungkin juga akan mengurriskan hati pelbagai pihak, namun apa jua yang ingin disampaikan ini bukan nya ingin menunjuk pandai mahupun berlagak tapi atas niat keprihatinan terhadap apa yang berlaku sekarang. Sekiranya salah dan silap harap ditegur dan ditembak setepatnya.

Perkara utama ingin disentuh disini ialah mengenai keterbukaan kita terhadap publisiti. Kami dari Bangi agak bingung kenapa kita tidak mahu mempublisti kita punya Persatuan ini secara meluas. Mungkin benar orang kata niat kita akan terpesong dan lari namun perlu juga kita lihat dari konteks lain. Maksudnya penerimaan masyarakat terhadap kita. Gerakan kita sudah lama wujud namun masih lagi ramai yang belum mengenali kita. Bagaimana kita hendak mendekati masyarakat kalau mereka pun menyebut nama PEPIAS kepada POPIA mahupun PEPAYA atau sebagainya. Mungkin lawak kita dengar tapi sedarkah perkara ini amat berat sekali untuk dipikul. Dakwah kita sudah lama bertapak di Selangor, sekarang tibalah masanya untuk kita membuatkan nama kita bertapak kuat agar dakwah yang kita wariskan ini dapat bergerak siring dengan matlamat yang mahukan tamadun islam terbina semula. Cuba kita lihat rakan-rakan dakwah kita yang lain seperti ABIM dan PKPIM misalnya, nama mereka sudah kuat dan memudahkan segala urusan mereka untuk melakukan amanah yang diberi oleh ALLAH.
Apa yang kami nampak disini ialah bagaimana gerakan ABIM atau PKPIM bila nama sudah kuat dan dikenali. Mudahnya setiap gerakan mereka dalam menjalankan dakwah ini pabila orang atau masyarakat sudah mengenali harakah mereka. Itulah yang kita perlu lakukan juga.

Tidak salah kita cuba nasib untuk meletakkan nama persatuan kita ini dibibir masyarakat supaya mudah apabila mereka mengenali kita dan pastinya akan terlintas di fikiran mereka untuk merujuk kepada kita. Bukan maksud kami, kita perlukan publisiti murahan tapi publisiti dari segi nama dan aktiviti yang kita lakukan. Tidak cukup hanya mempunyai laman sesawang tapi kita juga perlu ada link yang banyak terutamanya dengan syarikat Islam ataupun media-media yang sepatutnya. Terguris nya hati apabila kami yang berkeinginan meletakkan setiap aktiviti yang dianjurkan oleh PEPIAS di tatapan dada akhbar ditentang oleh pelbagai pihak. Niat kami satu sahaja, bukan nya untuk mencari publisiti murahan tapi bagi menapakkan nama PEPIAS ini di hati masyarakat dengan pendekatan aktiviti yang kita lakukan dan agak kukuh di negeri selangor terutamanya. Biar semua orang tau tentang persatuan kita!!! Bagaimana orang nak percaya dengan kita sekiranya mereka tidak mengenali kita? Bagaimana kita nak tolong orang sedangkan orang pun tak dekat dengan kita? Islam lebih mudah didakwah apabila orang mengenali Islam. Itulah fungsinya HIJRAH. Jadi kita juga perlu hijrah dari pendekatan lama ke pendekatan moden. Teringat kata Abg Nizal yang sekarang perlu kita lakukan dalam kerja dakwah ialah kita perlukan laksanakan secara DAKWAH BIL HAL. Melihat keadaan sekarang, kita perlua ikut keadaanya juga. Barulah pendekatan kita gunakan ini lebih efiseien.

Teringat masa kecil dulu, bagaimana kita sewaktu bayi, mak ayah kita bagi nama pada kita. Misalnya nama 'Ahmad'. Pastinya nama itu didaftrkan di dalam Surat Branak kemudiannya ke I.C. Nenek kita atau jiran-jiran kita pasti akan menguar-uarkan nama kita di mana-mana sahaja bila duk sembang atau bergosip. Disitulah orang sudah mengenali kita. Begitulah juga dengan PEPIAS. Mula-mula kita dinamakan pastu didaftarkan. Pastinya selepas itu orang akan menceritakan tentang kita apabila kita sudah publisitkan nama kita. Macam 'Ahmad' tadi, pastinya orang tidak akan kenal dia jika jiran2 yang ziarah dy tidak hebohkan atau publisitikan dy, sama juga dengan PEPIAS. Jadi, apa yang perlu kta buat sekarang?

Publisiti tidak semestinya keluar dalam paper tapi ada pelbagai lagi inesetif yang kita boleh buat. Misalnya uar-uarkan dalm radio atau buat poster mengenai PEPIAS dan edarkan atau edarkan flyer di kawasan perumahan atau sebagainya. Mungkin juga kita boleh menghasilkan produk di atas nama PEPIAS. Tidak silap saya, usul ini ada diperbincangkn sewaktu muktamar yang lalu dan dipersetujui oleh beberapa pihak. jadi tidak salahkan kalau kita laksanakan. Macam mana orang nak hulurkan dana atau bantuan kepada kita kalau kita sendiri tidak tolong persatuan kita ini. Mahukah kita bagi wang kita kepada orang yang kita tidak kenal? Pastinya kita takut unutk memberi. Samalah juga dengan masyrakat diluar sana, pabila kita minta sponsor mahupun dana, pastinya mereka berkita-kira kerana tidak mengenali kita. Jadi susahlah kerja Bendahari Agung kita selepas ini. Haraplah kita hanya pada tabung yang diedarkan setiap kali usrah je. Pastu merungut tiada duit. Pastu merungut lah orang sebut nama kita tidak betul, pastu merungut lah barang tidak cukup, pastu merungutlah ahli tidak bantu persatuan dan macam-macam lagi. Walaupun benda ini tidak berlaku tapi kita perlu bersedia untuk menghadapi kalau ia terjadi.

Setiap cawangan perlulah berdaya saing untuk membantu kita punya persatuan ini. Kita bukan sahaja bantu persatuan ini tapi sebenarnya ia permulaan kita untuk lebih dekat kepada masyarakat. Mungkin kita boleh tiru TV9. Bagaimana permulaan mereka bertapak, mula-mula guna tagline dekat dihati tapi selepas 3 tahun mereka dikenali ,tagline mereka berubah ke di hatiku. Janganlah hanya 2,3 cawangan sahaja yang hidup tapi hendaklah semua bangun dan bergerak sama-sama mencapai matlamat yang kita mahukan. Kehidupan kami PEPIAS di Bangi ini agak meruncing sebenarnya apabila 'budak-budak baru' yang kita tarik ini menyatakan PEPIAS ini persatuan haram. Kenapa? Sebabnya mereka tidak pernah mengenali kita walaupun mereka kebanyakan datang dari negeri Selangor dan sudah didedahkan mengenainya di kampus kami. Inilah padahnya kalau kita ambil enteng dengan perkara ini. Mereka tidak pernah dengar PEPIAS. Mereka takut dengan PEPIAS. Mereka berbelah bagi. Mereka anak Selangor tapi tak pernah pun dengar PEPIAS. Mustahilah kalau anak negeri lain untuk mengealinya juga. Dan kami pasti benda ini bukan sahaja berlaku di cawangan Bangi tapi turut berlaku di mana-mana cawangan.

Jadi, kami sebagai cawangan yang prihatin dengan persatuan ini, mengharapkan pendekatan yang lebih terbuka dari pihak atasan dari segi publisiti dan perhubungan awam. Bukan kami ingin timbulkan kontrovesi mahupun mencari publisiti murahan, tapi inilah yang ingin kami bangkitkan sebenarnya. Kami harap boleh dilaksanakan seperti mana yang di usulkan ini. Bukan hendak melatakkan di atas bahu kami sahaja, tapi kita pikul sama-sama. InsyaAllah apa yang kita hajati pastinya akan terjadi. Mungkin apa yang berlaku pada zaman Rasulullah dan para sahabat tidak sama dengan kita tapi sebenarnya bukan kita perlu kita ikut bulat2 tapi kita contohinya dan buat perubahan mengikut kesesuian selagi tidak melanggar syarak. Kami memohon maaf sekiranya apa yang kami sampaikan ini pasti mengguriskan pelbagai pihak namun hati kecil kami hanya satu iaitu TAMADUN ISLAM mampu dibangkitkan semula. Gerakan dakwah yang kita jalankan dapat bergerak seiringan dengan peredaran masa yang sangat pantas ini. Mungkin selepas ini kita akan mendengar satu nama je persatuan kita ini iaitu PEPIAS bukannya ada yang tersasul sebut POPIAS atau PEPIAP atau KOPIAH atau sebagainya .Sekali lagi kami memohn maaf dan mengharapkan benda ini dapat diperbincagkan di peringkat pusat.

Sekian terima kasih. Nantikan sambungannya lagi. =)

Yang ikhlas
Muzakkir b. Mohamad Noor
Wakil Cawangan Bangi
19.06.2009
6.30 petang


Sertai Kami PEPIAS

=B+E+L+I+A=

B-Berani
Belia seharusnya berani. Berani kerana benar, takut kerana salah. Berani bukan berani yang memBABI BUTA, dan memBUTA TULI. Itu berani yang sia-sia dan bertuankan nafsu. Apa sahaja yang bertuankan nafsu akan diakhiri dengan kekesalan. Biasanya, belia sangat mudah terjebak di antara skala berani benar dan berani babi! Kerana itu, lumrah belia. Darahnya masih muda, masih panas; masih mahu melakukan apa yang tidak pernah ditemuinya, dan dirasainya. Kalau pernah perit berhadapan dengan sesuatu, dan masih mahu lagi merasainya lagi, itulah keberanian. Ia penuh dengan risiko.

E-Emosi
Belia tidak lepas dari terpengaruh dengan emosi. Kebijaksanaan emosi perlukan belaian dari akal yang matang, dan jiwa yang diisi dengan ilmu dan makrifat. Hantaran emosi yang meluap-luap dan rasa empati yang tinggi, menjanjikan belia aktif secara reaktif dan juga proaktif terhadap apa yang ditimpa oleh orang yang punya erti dalam hidupnya. Namun, emosi juga ada tinggi dan rendahnya. Terpulang pada jiwa yang berisi tadi untuk mengawalnya. Emosi boleh jadi hangat; sehangat api cinta laila dan majnun. Emosi boleh jadi dingin; sedingin iceberg yang tidak akan memunculkan diri dan rela tenggelam dan menenggelamkan kapal yang melanggarnya. Ia penuh dengan ketidaktentuan.

L-Latihan
Belia adalah kumpulan manusia yang umurnya masih mentah; Baru lepas dari bangku sekolah, baru kenal dunia, tanpa bekal yang cukup untuk semua perkara. Lantas, latihan dari pelbagai arena dan lapangan harus dibekalkan; walau sekecil mana ia kelihatan; Sedangkan yang emas usianya pun masih kurang pengalaman, inikan pula timah yang mudah dilentur. Latihan yang berkesan dan benar akan menjadikan belia semakin berharga dan bernilai dari kaca mata dunia. Sekiranya jurulatih pula yang beri ilmu Falasi; yakni ilmu sesat dan penipuan, maka itulah juga yang akan ditelan oleh belia ini. Yang pasti, belia harus dikaitkan dengan latihan. Belia yang tidak punya latihan, adalah satu kehinaan atas sifat kehambaan kepada nikmat Muda, dan nikmat Tenaga Fizikal, juga nikmat Akal yang segarn dari yang Esa. Maka, kekallah mereka dalam kejahilan dan kesesatan yang nyata.

I-Idealis
Belia cerdas dengan idea yang segar; penuh optimis dan positif. Yang benar, tetap benar, Yang salah, tetap salah; Tidak ada selok-belok dalam soal keadilan dan kebenaran. BEgitu juga dengan segala yang sifatnya sejagat. Belia tidak ada apa yang perlu diselok-belokkan, kerana tidak ada apa yang perlu dipertahankan. Kenyataan belia adalah tulus dari buku yang dibaca, dan ilmu yang dipakukan oleh jurulatih dan ilmuan yang mengisi jiwa dan akal mereka. Penting untuk bersikap sangat kritis dalam menilai suatu keadaan, sama ada yang baik rupanya, apa lagi yang bobrok lakunya. Sehinggalah ada kepentingan yang dijaga dan dipertahankan secara materialnya, maka, idealisme yang dipertahankan akan menjadi caca merba. Sebentar putar ke sini, sebentar lagi putar ke sana. Sebentar nanti, putar lagi ke sini. Akhirnya, jadilah belia yang fakir ideanya, lemah jiwanya, buntu masa depannya.

A-Aktivis
Belia berkerja lebih cergas dan luar biasa kebiasaannya. Kecergasan yang datangnya dari fizikal yang mantap, serta jantung yang sihat segala urat nadinya; akan menggerakkan segala macam pancaindera dan anggota untuk bergerak. Gerak belia adalah untuk kebaikan sejagat. Gerak belia adalah barisan depan dalam mendepani mana-mana agenda untuk Agama, dan negara. Aktiviti belia tidak pantas dinilai dengan materi yang mewah. Memadai sekadar cukup makan-minum, ada tempat berteduh, cukup tambang bergerak ke destinasi pertempuran. Nilaian materi yang berlebihan hanya akan melembapkan darah dipam ke seluruh anggota. Biarlah lihat belia cergas dengan kebeliaan mereka. Ditahan belia bergerak, samalah menahan arus ombak yang memukul pantai. Datangnya tidak akan sudah. Sifat aktivisme perlu dipelajari, disokong dan didokong oleh umat sekelian alamnya; barulah kepemimpinan masa depan dapat dipertahankan dengan wajar dan akhirnya, Agama dan negara akan dapat dipelihara hingga akhirnya.(insya Allah)

BULAN REJAB ; MARI KITA SUBURKAN DENGAN IBADAH.


Sama samalah kita ingat mengingati amalan- amalan mulia yang penuh berkat ini......... . BULAN REJAB Pada 24 Jun 2009 (Rabu) kita memasuki bulan Rejab. Bulan Rejab adalah bulan Allah swt. Diriwayatkan bahwa Rasulullah saw telah bersabda, "Ketahuilah bahwa bln Rejab itu adalah bulan ALLAH swt, maka:"
1. Barang siapa yang berpuasa 1 hari dalam bulan ini dengan ikhlas, maka pasti ia mendapat keredhaan yang besar dari ALLAH swt
2. Dan barang siapa berpuasa pada tanggal 27 Rejab /Isra Mi'raj (Isnin, 20 Julai 2009) akan mendapat pahala seperti 5 tahun berpuasa
3. Barang siapa yang berpuasa 2 hari di bulan Rejab akan mendapat kemuliaan di sisi ALLAH swt
4. Barang siapa yang berpuasa 3 hari yaitu pada tanggal 1, 2, dan 3 Rejab (24, 25, 26 Jun 2009) maka ALLAH swt akan memberikan pahala seperti 900 tahun berpuasa dan menyelamatkannya dari bahaya dunia dan seksa akhirat
5. Barang siapa berpuasa 5 hari dalam bulan ini, insyaallah permintaannya akan dimakbulkan Allah swt..InsyaAllah
6. Barang siapa berpuasa 7 hari dalam bulan ini, maka ditutupkan 7 pintu neraka Jahanam dan barang siapa berpuasa delapan hari maka akan dibukakan 8 pintu syurga
7. Barang siapa berpuasa 15 hari dalam bulan ini, maka ALLAH swt akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan menggantikan kesemua kejahatannya dengan kebaikan, dan barang siapa yang menambah (hari-hari puasa) maka ALLAH swt akan menambahkan pahalanya."
Sabda Rasulullah saw lagi :"Pada malam Mi'raj, saya melihat sebuah sungai yang airnya lebih manis dari madu, lebih sejuk dari air batu dan lebih harum dari minyak wangi, lalu saya bertanya pada Jibril as "Wahai Jibril untuk siapakah sungai ini?"
Maka berkata Jibrilb as "Ya Muhammad sungai ini adalah untuk orang yang membaca selawat untuk engkau dibulan Rejab i ni."
Dalam sebuah riwayat Tsauban bercerita :"Ketika kami berjalan bersama-sama Rasulullah saw ke sebuah kubur, lalu Rasulullah saw berhenti dan beliau menangis dengan amat sedih, kemudian beliau berdoa kepada ALLAH swt. Lalu saya bertanya kepada beliau "Ya Rasulullah, mengapakah engkau menangis?" Lalu beliau bersabda "Wahai Tsauban, mereka itu sedang diseksa dalam kuburnya dan saya berdoa kepada ALLAH swt, lalu ALLAH swt meringankan atas mereka."
Sabda beliau lagi "Wahai Tsauban, kalaulah sekiranya mereka ini mahu berpuasa satu hari dan beribadah satu malam saja di bulan Rejab nescaya mereka tidak akan disiksa di dalam kubur." Tsauban bertanya "Ya Rasulullah, apakah hanya berpuasa satu hari dan beribadah satu malam dalam bulan Rejab sudah dapat mengelakkan dari seksa kubur?"
Sabda beliau "Wahai Tsauban, demi ALLAH Zat yang telah mengutus saya sebagai nabi, tiada seorang muslim lelaki dan perempuan yang berpuasa satu hari dan mengerjakan solat malam sekali dalam bulan Rejab dengan niat karena ALLAH swt, kecuali ALLAH swt mencatatkan baginya seperti berpuasa satu tahun dan mengerjakan solat malam satu tahun."

-www.abimselangor.blogspot.com

Thursday, June 11, 2009

Usrah PEPIAS BANGI 5 Sesi 2009/2010

Assalamualaikum kepada semua keluarga PEPIAS Cawangan Bangi.

Dijemput kepada semua ahli PEPIAS untuk hadir ke Usrah PEPIAS BANGI Siri 5 bagi memeriahkan lagi dan mengimarahkan majlis ilmu ini. Ketetapan seperti berikut :

Tarikh : 15 Jun 2009
Hari : Isnin
Masa : 8.00 malam
Tempat : BT 1212
Tajuk :

Semua ahli PEPIAS anda dijemput hadir. Sekiranya ada ahli baru kami mengalu-alukan untuk turut serta sekali. Dijemput juga kepada semua pelajar baru KUIS sesi 2009/2010. Istiqamahlah dalam majlis ilmu. Perbincangan menarik jika niat baik.

"Amalan Usrah Merapat Ukhwah Mendekati Allah"


p/s= kehadiran usrah siri 4 seramai 26 orang

Wednesday, June 3, 2009

PROGRAM PENGURUSAN JENAZAH & TEKNIK DAN ETIKA PENYEMBELIHAN MENGIKUT SYARAK

Hayatilah perbualan dua sahabat ahli PEPIAS ini...:

Fandey : Assalamualaikum

Afiq : W'slm. Dari mana? Eh ni nak bagi tau tentang program PEPIAS. Takut tak sempat bagi
tau kat rumah.

Fandey : Dari meeting KAC. Program apa pulak? Dah lama aku tidak pergi program
PEPIAS ni. Rindu plak rasa nya ngn keluarga PEPIAS ni.

Afiq : Ni cek nak habaq mai la ni. Kite nak wat Program Pengurusan Jenazah dan
Teknik & Etika Penyembelihan.

Fandey : Menarik program tu. Bila nye program tu? Program lain dari lain ni. harap-harap tidak
ade halangan untuk aku sertainya sekali.

Afiq : Oh tarikhnya bersesuaian la. 10 hingga 12 Julai. Waktu tu cuti semester la.

Fandey : Alhamdulillah. Eh tapi dimana tempatnye erk? Dan macam mana pengakutannya?
Naik komuter ke?

Afiq : Oooo tempatnya di Kem Bina At-Taqwa, Bukit Changgang, Banting. Tempat tu
sungguh menarik dan sesuai sekali untuk kita semua. Kita akan sediakan dua
buah bas. Pergerakannya nanti akan dimaklumkan kemudian

Fandey : Oh begitu ke..Harap2 Allah permudahkan urusan kita. Tapi kan program ni
kene bayar ke? Kalau kene, maknanya aku kene kumpul duit dari sekarang la.

Afiq : Kene la bayar sket. Ala dalam RM30. Murah je kan. Ilmu yang kita nak
perolehi ni lagi bernilai. Bukan senang nak dapat kat mane-mane. Hah lupa
nak bagitau, perasmi penutup nanti YB Dato' Dr Hassan Bin Ali, Exco
Kerajaan Selangor.

Fandey : Pasal bayaran aku tidak kisah la. Kita kene ikhlas kn. Hehe. Wah gempak dan
hebat erk porgram ni. Aku mesti sertainya. Boleh tak aku ajak kawan-kawan
dan adik-adik aku?

Afiq : Boleh tapi cepat sket kerana tempat terhad la. Hanya untuk 80 orang. Kamu
leh daftarkan nama pada Muzakkir ( 017 5086339/ 013 2005672 ). Hubungi dia
segera untuk pendaftran. Program ini terbuka untuk remaja berumur 15 tahun
ke atas tau.

Fandey : Baiklah. tidak sabar rasanya nak belajar macam mane nak menguruskan jenazah. Yela
mane tau satu hari nanti, aku terpaksa uruskan jenazah keluarga aku sendiri. So aku
sudah ade sedikit asasnya. Sudah lama juga aku nak tau dan beljar tentang sembelihan
ni. Yela nanti leh la aku sembelih sendiri. Haha.

Afiq : Betul tu fandey. Wah bukan main lagi kau sekarang. Yela ni mesti hasil pergi ke
program-program anjuran PEPIAS. Huhu. Betul cakap kamu tadi. Sekarang ni ramai
remaja tidak tahu melakukan dan menguruskan jenazah dan bab penyembelihan ni.
Jadi PEPIAS ambil inesetif dengan menganjurkan program ni agar tidak memberi
kesan yang besar pada masa akan datang.

Fandey : Baiklah. terima kasih. Aku kene pulang ni. Kamu tak nak balik sekali ke?
Kita kan satu rumah. Malam ni kan ada usrah PEPIAS Cawangan Bangi. Apa kata
kamu promote pula kat usrah malam ni. Mesti ramai lagi nak ikut. Lagi ramai lagi
meriah.

Afiq : Ok. Jom kita pulang sama-sama. Cepat sket. Nanti nak bersiap tuk malam ni. Aku nak
jadi orang istiqamah dalam usrah ni.

Begitulah kisah dua sahabat PEPIAS yang menceritakan tentang PROGRAM PENGURUSAN JENAZAH & TEKNIK DAN ETIKA PENYEMBELIHAN MENGIKUT SYARAK anjuran PEPIAS. Jadi bagi sahabat-sahabt semua yang berminat dengan program ini, boleh lah daftar kepada nama yang disebut dalam dialog diatas. Siapa cepat dia dapat. Semoga tidak lepas peluang yang berharga ini.

Monday, June 1, 2009

Usrah PEPIAS BANGI 3 Sesi 2009/2010

Assalamualaikum kepada semua keluarga PEPIAS Cawangan Bangi.

Dijemput kepada semua ahli PEPIAS untuk hadir ke Usrah PEPIAS BANGI Siri 3 bagi memeriahkan lagi dan mengimarahkan majlis ilmu ini. Ketetapan seperti berikut :

Tarikh : 1 Jun 2009
Hari : Isnin
Masa : 8.00 malam
Tempat : BT 1114
Tajuk : Persiapan Harakah Islamiyyah

Semua ahli PEPIAS anda dijemput hadir. Sekiranya ada ahli baru kami mengalu-alukan untuk turut serta sekali. Dijemput juga kepada semua pelajar baru KUIS sesi 2009/2010.