Alhamdulillah, Ramadan menjelma lagi. Bulan yang dinantikan oleh setiap insan beriman. Ramadan sewajarnya menjadi madrasah (sekolah) tarbiah yang mampu menjana perubahan.
Sesiapa yang mengimarahkan madrasah ini, nescaya kejayaan dan pengampunan menjadi miliknya. Manakala golongan yang mengabaikannya, kecelakaan dan laknat Allah bakal menghantui kehidupannya.
Malaikat Jibril pernah berdoa kepada Allah: Celakalah bagi golongan yang bertemu dengan bulan Ramadan, tetapi setelah berpisah dari bulan tersebut, dosanya tidak diampunkan. Dan Nabi SAW mengaminkannya. (Hadis riwayat al-Bukhari, al-Adab al-Mufrad).
Apabila didoakan oleh Jibril - makhluk yang tidak pernah menderhakai Allah - dan diaminkan oleh Muhammad insan terpilih, keberkatannya tidak perlu diragui lagi.
Oleh itu menghidupkan Ramadan dengan amal soleh merupakan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh umat Islam seluruhnya.
Kelebihannya dinyatakan oleh Nabi Muhammad: "Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." (hadis riwayat Muslim).
Cuma perkara yang agak menyedihkan adalah kegagalan sebahagian masyarakat Islam hari ini dalam menilai keutamaan. Apa yang paling utama dalam kehidupan?
Apa yang paling utama dalam amal kebaikan? Apa yang paling utama dalam ekonomi? Apa yang paling utama dalam politik? Kegagalan ini menyebabkan hidup manusia tidak terarah.
Abai fardu, utamakan tarawikh
Jika dilihat dalam realiti kehidupan hari ini, nafsu diutamakan dari segala-galanya. Hampir setiap hari, ada saja berita tentang pembuangan bayi.
Bahkan antara tahun 2005 hingga 2010, sebanyak 407 kes pembuangan bayi seluruh Malaysia direkodkan. Inilah akibatnya apabila nafsu diutamakan.
Kehidupan manusia seolah-olah tiada nilainya, sedangkan Allah memuliakan status kita di dalamAl-Quran, firman-Nya:
"Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkat mereka di daratan dan di lautan, Kami berikan mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan." (al-Israk, ayat 70).
Tetapi, apabila nafsu diutamakan, kemuliaan bertukar menjadi kehinaan.
Ada pula di kalangan manusia yang beribadat mengikut nafsunya, seperti solat terawikh lebih diutamakan dari solat fardhu secara berjemaah. Solat subuh dua rakaat berjemaah diabaikan, tetapi solat terawih 23 rakaat berjemaah dilaksanakan.
Bagaimana pula dengan hadis Nabi Muhammad: "Seberat-berat solat atas para munafiqin (orang munafik) ialah solat Isyak dan subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung di dalam dua sembahyang berkenaan, tentulah mereka akan mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak.
"Demi Allah, sesungguhnya mahu sahaja aku memerintahkan orang mendirikan sembahyang berjamaah bersama para hadirin, kemudian aku pergi dengan beberapa yang membawa kayu api kepada orang yang tidak menghadirinya, lalu aku bakar rumah-rumah mereka, sedangkan mereka berada di dalamnya." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Belum puas syurga dunia
Sayang, seribu kali sayang, apabila nafsu didahulukan, amal ibadat turut hilang kualitinya.
Begitu juga dari sudut politik dan ekonomi; apabila nafsu diutamakan manusia pasti dijangkiti penyakit "al-wahnu".
Sabda Nabi Muhammad: "Hampir tiba suatu zaman di mana musuh-musuh kamu akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang kelaparan mengerumuni hidangan mereka."
Maka salah seorang sahabat bertanya: Adakah kerana jumlah kami yang sedikit pada hari itu?
Nabi Muhammad menjawab: "Bahkan, pada hari itu jumlah kamu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di lautan, dan Allah akan mencabut 'rasa gentar' dari hati musuh-musuh kamu terhadap kamu, dan Allah akan melemparkan ke dalam hati kamu penyakit al-wahnu."
Seorang sahabat bertanya: "Apakah itu al-wahnu itu, ya Rasulullah?"
Rasulullah menjawab, "Cinta dunia dan takut mati." (hadis riwayat Abu Daud dan Ahmad)
Kesihatan dijaga bukan untuk mendekatkan diri dengan Allah, tetapi kerana masih belum puas menikmati syurga dunia. Hasilnya, halal haram diketepikan. Perebutan kuasa dan harta kekayaan menjadi penghalang besar bagi kejayaan umat Islam hari ini.
Politik syariat, politik haram
Kerana pangkat manusia bermusuhan dan kerana wang manusia sanggup berbunuhan. Bahkan kerana wang manusia menghalalkan apa yang Allah haramkan. Berani sungguh manusia.
Takutlah kepada firman Allah: "Dan golongan kiri, siapakah golongan kiri itu. Dalam (seksaan) angin yang amat panas dan air panas yang mendidih, dan dalam naungan asap yang hitam. Tidak sejuk dan tidak menyenangkan. Sesungguhnya mereka sebelum itu hidup bermewah-mewahan. Dan mereka terus-menerus mengerjakan dosa yang besar." (al-Waqi'ah, ayat 42-46).
|
Sayangnya, nafsu terus diutamakan.
Islam tidak memisahkan antara politik dengan agama. Cuma Islam membezakan antara politik yang disyariatkan dan politik yang diharamkan. Bahkan Islam meletakkan garis panduan dalam pemerintahan agar hubungan antara pemimpin dan rakyat terjalin, dan hubungan makhluk dengan Allah terpateri.
Cuma, suasana politik hari ini diwarnai dengan pelbagai noda dan dosa. Fitnah-memfitnah, umpat-mengumpat, rasuah, politik wang, gila kuasa, sombong, angkuh, hilang amanah menjadi darah daging sebahagian ahli politik kini.
Mengapa berlaku sedemikian? Jawapan mudah, kerana kelemahan akidah. Mana mungkin orang yang beriman kepada Allah dan Rasul dengan sebenar-benarnya melakukan amalan-amalan keji di atas. Ini kerana orang yang beriman, mengenali Allah dengan sebenarnya.
Apabila Allah dikenali, kekuasaannya digeruni, kalamnya diimani, maka peribadi seseorang dapat dibentuk dan dibendung. Jika setiap individu dapat dibentuk, sudah semestinya negara dapat ditadbir dengan baik dan cemerlang di samping kekuatan rohani dan jasmani serta iringan keredhaan dari Allah.
Oleh itu, manusia mesti sanggup berubah untuk mengubah. Firman Allah: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri." (al-Ra'du, ayat 11).
Pemurnian akidah
Perkara yang mampu menjana perubahan terbesar dalam masyarakat adalah pemurnian akidah dari sebarang unsur syirik, khurafat, bidaah dan tahyul.
Permurnian akidah bukan sahaja mampu mengubah kehidupan manusia bahkan menjadi penentu kepada penempatan manusia samada di syurga atau neraka.
Sabda Nabi: "Setelah penghuni syurga masuk ke syurga dan penghuni neraka masuk ke neraka, Allah berfirman: "Keluarkan dari neraka orang-orang yang di dalam hatinya terdapat seberat biji sawi iman." Maka mereka pun dikeluarkan dari neraka." (hadis riwayat al-Bukhari).
Subhanallah, hanya iman seberat biji sawi manusia beroleh kejayaan kekal abadi. Bayangkan jika kesedaran tentang pentingnya iman bermula dari hari ini, di saat ini.
Dunia pasti berubah.
Firman Allah maksudnya: "Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amalan yang soleh bahawa Dia benar-benar akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa.
"Mereka tetap menyembahku-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang yang fasiq." (al-Nuur, ayat 55)
Mungkin ada yang berkata, apa kaitan politik, ekonomi, akhlak dengan pemurnian aqidah? Saya katakan, ilmu akidah yang paling penting adalah tauhid, ilmu yang membahaskan tentang etika dalam mengesakan Allah.
Sekiranya manusia gagal dalam memahami etika-etika ini, sudah tentu dingin hubungannya dengan Allah. Bahkan rasuah, kezaliman, caci-maki, riba, buang anak dan sepak terajang politik hari ini berlaku kerana manusia kurang mengenal serta tidak beretika dalam mengesakan Allah.
Pelaris, berkat perniagaan
Sebahagian kedai makan pada hari ini contohnya masih lagi bergantung kepada pelaris-pelaris untuk melariskan jualannya.
Begitu juga terdapat taukeh kedai makan tertentu yang sanggup menziarahi "keramat" (tanah perkuburan) untuk memohon berkat dan kejayaan perniagaannya.
Sedangkan Allah memerintahkan supaya kita memurnikan pergantungan hanya kepada-Nya.
Firman Allah, maksudnya: "Hanya kepada Engkaulah kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan." (surah al-Fatihah, ayat 5).
Surah yang dibaca sehari semalam 17 kali dalam solat, tetapi sayang manusia masih tidak beretika dalam mengesakan Allah.
Mengapa para sahabat Rasulull sanggup mati kerana Allah? Jawabnya, kerana mereka mengenal Allah, bergantung sepenuhnya kepada Allah dan benar-benar yakin dengan janji-janji Allah.
Kisah 'Umair bin al-Humam yang mendengar sabda Nabi Muhammad: "Bangunlah kalian menuju syurga Allah yang luasnya seperti langit dan bumi."
Terdengar ucapan tersebut, Umair bertanya: "Benarkah, keluasannya seperti langit dan bumi?"
Murnikah akidahku?
Nabi bersabda: "Ya."
Beliau lantas menyebut: "Bakhin bakhin (sebutan yang menggambarkan rasa pengagungan)."
Nabi bertanya: Apakah yang menyebabkan engkau berkata sedemikian?
'Umair menjawab: "Kerana aku ingin menjadi ahlinya." (hadis riwayat Muslim).
Lihatlah keyakinan para sahabat Nabi terhadap janji-janji Allah. Bagi orang yang beriman walau syurga tidak dilihat, keyakinan di hati tetap terpahat.
Oleh itu, tepuk dada dan tanya kepada diri sendiri: "Murnikah akidahku?"
Fathul Bari Mat Jahya merupakan Graduan hadis daripada Universiti Islam Madinah dan Universiti Yarmouk Jordan itu kini sedang menyiapkan tesis PhD dalam bidang yang sama di Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Beliau kini bertugas sebagai penasihat agama di Institut Jantung Negara. |