APA ITU PEPIAS???

PEPIAS merupakan akronim daripada nama Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan mana sebelum ini dikenali sebagai Persatuan Kebajikan Dan Pendidikan Islam Selangor Darul Ehsan.
PEPIAS telah bertapak sebagai penubuhan yang sah pada tanggal 1 OKTOBER 1992 setelah mula bergerak sejak 1971.


PEPIAS berasaskan DUA GAGASAN iaitu KEBAJIKAN dan PENDIDIKAN ISLAM. PEPIAS lebih menumpukan kepada sasaran sekolah rendah dan sekolah menengah. "meluntur buluh biar dari rebungnya".

PEPIAS telah mempunyai 7 cawangan berdaftar yang mana salah satunya ialah PEPIAS Cawangan Bangi yang bertapak di KUIS, Bangi.

Tuesday, August 11, 2009

Persiapan Bulan Ramadhan

Apa agaknya yang perlu dipersiapkan untuk menyambut kehadiran Ramadhan Al-Mubarak? Bingung kita sebagai manusia tentang apa yang pernah dilakukan oleh umat terdahulu sehinggakan datang Ramadhan ini dinanti dan perginya sangat-sangat dirindui. Apakah Ramadhan kini tiada seri kerana tidak lagi kita berpuasa bersama-sama Baginda Rasulullah s.a.w? Atau adakah kerana hari ini tiada lagi peperangan yang perlu ditempuh di dalam bulan Ramadhan?


Di dalam usrah bersama ABIM Selangor, kami diperingatkan oleh Ustaz Naim yang menjadi Naqib mengetuai perbincangan yang bertajuk persiapan menjelang Ramadhan, beliau mengungkapkan bahawa, pada hari ini, kita tidak dapat lagi merasakan kenikmatan datangnya Ramadhan adalah disebabkan oleh kesibukan hal dunia kita yang akhirnya memisahkan kita dengan hubungan kepada Allah s.w.t. Kesibukan ini akhirnya terbawa-bawa sehingga ke bulan Ramadhan dan akhirnya Ramadhan yang dilalui umat hari ini tidak ubah seperti itik. Itik akan membersihkan dirinya dengan sebersih-bersihnya akan tetapi apabila ia bertemu dengan lumpur, mereka akan kembali mengotorkan diri mereka ke dalam lumpur tadi.


Sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian, demikianlah hidup kita yang berhadapan dengan 11 bulan, didikan yang diberikan kepada nafsu kita cukup-cukup hebat, dibela dan dibelai dengan pelbagai kesenangan dan kemudahan sehinggakan apabila datang Ramadhan, sekalipun syaitan itu dibelenggu oleh Allah s.w.t, rupa-rupanya, nafsu kita telah pun diajar dan dipesan oleh syaitan agar meneruskan tugasan-tugasan mereka bahkan kadangkala ia lebih dari kebiasaan kita. Dek kerana itulah mengapa, apabila datang Ramadhan, yang terbayang jelas dalam pemikiran kita adalah 'baju raya apa nak pakai?', 'nak balik raya ke mana?' dan sebagainya yang berkaitan.


Menurut Imam Al-Ghazali, puasa seorang manusia ini terbahagi kepada 3 peringkat yang patut kita muhasabahkan diri sebagai ahli gerakan, dimanakah tingkatan kita. Pertama, puasa awam, iaitu puasa orang-orang kebiasaan yang dilakukan kerana orang lain lakukannya. Kedua, puasa khusus, dimana si pelaku puasa ini memelihara puasanya dari batal, makan minum serta anggota-anggotan mereka yang dapat mengurangkan pahala puasa. Manakala yang ketiga adalah, puasa khususul khusus, dimana ia adalah tingkat tertinggi apabila puasa itu bukan sekadar amalan bahkan penghayatan dari setiap segi secara jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial.


Untuk mendapatkan puasa khususul khusus ini, pastinya persiapannya jauh lebih rapi dan penghayatannya lebih tinggi dan mendalam. Antara persiapan yang seharusnya dilakukan kita selaku ahli jemaah ialah;

1. Persiapan Kerohanian
- Perbanyakkanlah puasa di dalam bulan Sya'aban
- Mengetahui keutamaan-keutamaan amalan di dalam bulan Ramadhan
- Membiasakan diri bangun sepertiga malam
- Bayangkan bahawa ini adalah Ramadhan terakhir buat kita
- Perbaharui niat dan fokus kita dalam ibadah di bulan Ramadhan

2. Persiapan Jasmani atau Jasad
- Mengurangkan kadar pengambilan makanan seminggu sebelum tiba Ramadhan
- Menjaga kesihatan dengan mengambil makanan pada kadar yang perlu serta berkhasiat

3. Persiapan Harta atau Mal
- Memperuntukkan beberapa jumlah wang untuk sedekah amal jariah serta zakat fitrah
- Mengurangkan perbelanjaan untuk menyambut Syawal
- Persiapkan rumah kita agar ia diberkati dengan kehadiran Ramadhan

4. Persiapan Aqal dan Ilmu
- Mengulangkaji ilmu tentang puasa
- Membaca kembali hadith-hadith yang menerangkan tentang kelebihan berpuasa
- Merancang penghafalan Al-Quran, bertadarus dan bertadabbur

4. Persiapan Emosi dan Sosial
- Memperbanyakkan peningkatan nilai-nilai murni atau sifat mahmudah dan berusaha mengurangkan sifat-sifat mazmumah
- Melatih diri supaya mudah untuk membantu orang yang dalam kesusahan
- Melatih diri untuk bercakap pada perkara-perkara yang perlu sahaja

Hasil nukilan tambahan oleh penulis. Semoga Mendapat Manfaat bersama.
www.abimselangor.blogspot.com

No comments: