APA ITU PEPIAS???

PEPIAS merupakan akronim daripada nama Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan mana sebelum ini dikenali sebagai Persatuan Kebajikan Dan Pendidikan Islam Selangor Darul Ehsan.
PEPIAS telah bertapak sebagai penubuhan yang sah pada tanggal 1 OKTOBER 1992 setelah mula bergerak sejak 1971.


PEPIAS berasaskan DUA GAGASAN iaitu KEBAJIKAN dan PENDIDIKAN ISLAM. PEPIAS lebih menumpukan kepada sasaran sekolah rendah dan sekolah menengah. "meluntur buluh biar dari rebungnya".

PEPIAS telah mempunyai 7 cawangan berdaftar yang mana salah satunya ialah PEPIAS Cawangan Bangi yang bertapak di KUIS, Bangi.

Tuesday, December 8, 2009

Perjuangan Tanpa Wawasan Tanda Tumpul Idealisme Mahasiswa

Wednesday, 02 December 2009 04:20

SEKONYONG-konyong sekumpulan mahasiswa sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang menggelarkan identiti mereka sebagai Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) berarak, berkumpul dan berdemontrasi menuntut apa yang didakwa hak mereka. Sebilangan kecil mahasiswa Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) berdemonstrasi menuntut pengurusan universiti menurunkan kadar yuran berasaskan andaian universiti menaikkan kadar harga yuran 50 peratus sejak beberapa tahun kebelakangan ini.


Riuh-rendah universiti akibat keletah anak-anak muda ini. Mereka berkumpul dan berarak dalam kumpulan kecil dalam tempoh seminggu sehingga kemuncaknya pada 6 November lalu, mereka menyuarakan bantahan rasmi - Memorandum Desak: Mendesak Pihak Pentadbiran Menurunkan Yuran Pengajian. Gelagat mereka mendapat liputan media cetak dan elektronik. Media alternatif, termasuk blog melaporkan dengan lebih meluas, termasuk umpat keji, maki dan kata nista.

Berbanding suasana era gelombang kebangkitan mahasiswa pada 1960-an dan 1970-an, perjuangan ketika itu membawa tema penting, lebih jitu membumi, menyentuh akar umbi dan hati nurani rakyat. Perjuangan mereka misalnya untuk memartabatkan bahasa Melayu, kemiskinan rakyat dan kejatuhan harga getah yang lebih dekat kepada suara nurani rakyat serta wibawa bangsa. Akibatnya, suara dan perjuangan mahasiswa dipasung dengan wujudnya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971. Pemimpin mahasiswa ditangkap, dipenjara dan ada yang membawa diri lari ke luar negara. Pokoknya, wacana mahasiswa ketika itu mendukung satu tema dan gagasan besar memartabatkan perjuangan bangsa.

Demonstrasi terbaru oleh segelintir mahasiswa ini menampilkan citra dan wajah yang berlainan. Di sekitar persoalan dan isu yang diketengahkan, nyata perjuangan mereka menampilkan satu watak bahawa lumpuhnya wawasan dan idealisme golongan itu. Membawa isu terpinggir, remeh-temeh serta dangkal nyata membelenggu dimensi perjuangan kumpulan serpihan ini. Mengapa dikatakan demikian?

Pertama, sebuah IPTS berbeza sama sekali dengan institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Walaupun falsafah dan fungsi IPTS adalah mendukung dasar pendidikan tinggi negara, matlamat IPTS pada akhirnya ialah kemandirian dari sudut kewangan. Berbanding IPTA yang mendapat sokongan dana dan pembiayaan kerajaan, geran penyelidikan dan inovasi serta sokongan berterusan kerajaan dalam pelbagai bentuk yang lain, IPTS secara umumnya beroperasi bersendirian, mencari duit dan mencipta laba menerusi cara yang diharuskan. Kutipan yuran pelajar adalah satu kaedah bahkan menjadi cara yang paling utama.

Menerusi kutipan yuran itulah, sesebuah IPTS menyokong kesinambungan hayatnya. Ia termasuk belanja operasi, pembayaran gaji dan emolumen, menyediakan kemudahan Pengajaran dan Pembelajaran (P&P), kemudahan prasarana, penyelenggaraan kemudahan, bayaran bil dan utiliti, perkhidmatan perpustakaan, makmal bahasa dan multimedia serta kemudahan lain yang perlu disediakan menurut piawaian sebuah institusi pengajian tinggi. Akibat perbelanjaan dan kos yang tinggi terus menerus meningkat saban tahun, maka tidaklah mengejutkan ada laporan sebelum ini menyebut sesetengah IPTS terpaksa gulung tikar.

Jangan juga dilupakan, IPTS perlu melakukan kerja promosi dan pemasaran secara bersendirian untuk mencari pelajar. IPTS tidak mempunyai pusat sehenti (one stop centre) seperti Unit Pusat Universiti (UPU) yang memproses kemasukan pelajar terus ke IPTA. Perbelanjaan dan kos bagi pengiklanan serta pemasaran adalah tinggi, kerja yang dilakukan sulit dan sukar di samping memerlukan inisiatif yang tinggi, perancangan strategik, tersusun dan komprehensif. Apatah lagi jika aktiviti pemasaran membabitkan pemasaran antarabangsa, kosnya tentulah lebih mahal dan tinggi. Semua perbelanjaan yang dilabur bagi tujuan pemasaran dan promosi belum tentu berbaloi andainya pelajar tidak datang belajar ke sesebuah IPTS.

Persaingan IPTS nyata semakin sengit. Kini ada 37 kolej universiti dan universiti swasta dan lebih 500 kolej swasta bersaing untuk merebut segmen pasaran sama. Lazimnya, pelajar yang berkelulusan cemerlang cenderung memilih atau dipilih memasuki IPTA. Baki yang lain itulah, sesetengahnya hanya berkelulusan minimum yang hendak direbut untuk memasuki IPTS.

Tanggungjawab IPTS menggalas misi besar, menampung sejumlah pelajar yang tidak mampu ditampung IPTA. Ini misi nasional. Dalam kerangka yang lebih besar, IPTS perlu bersama-sama menjayakan agenda nasional memartabatkan agenda pendidikan tinggi, memacu pertumbuhan ekonomi negara dan menjana modal insan berkualiti tinggi.

Kedua, kerana sifatnya yang perlu bersaing dan berdikari, pengurusan IPTS bertanggungjawab melapor kepada lembaga pengarah, pemegang kepentingan dan sesetengahnya langsung kepada pemegang saham. Laporan tahunan kewangan yang mencatatkan defisit tentulah meletakkan pengurusan IPTS tertekan, meresahkan, menjejaskan operasi organisasi dan kemungkinan membawa kepada tragedi gulung tikar. Perbezaan ini amat ketara dengan operasi IPTA yang dijaga rapi oleh pemegang kepentingannya, iaitu kerajaan sendiri. IPTS lebih terbuka untuk menjadi muflis jika penyata dan kedudukan kewangannya goyah.

Kenyataan dan garis penting inilah yang gagal untuk difahami kebanyakan pelajar, malah ibu bapa yang menghantar anak mereka menuntut di IPTS. Mujur agensi seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) turut menyediakan dana pinjaman kepada pelajar IPTS. Pinjaman itulah yang membantu pelajar membiayai pengajian mereka selama tiga atau empat tahun di universiti. Namun, pinjaman pengajian itu tidaklah seperti biasiswa. Dengan keterbatasan PTPTN yang terpaksa memikul tanggungjawab sosial begitu besar, ia tentulah tidak berupaya menyediakan jumlah pinjaman yang besar kepada setiap pelajar. PTPTN turut bertanggungjawab menaja pelajar IPTA.

Maka, sebarang tuntutan untuk menaikkan kadar pinjaman adalah tertakluk sepenuhnya kepada budi bicara dan kuasa PTPTN, bukan pengusaha IPTS. Sekali lagi, bayangkan senario buruk jika PTPTN menutup terus saluran penyediaan dana pinjaman kepada pelajar IPTS. Sesebuah IPTS memang bergantung kepada komitmen sebuah agensi besar seperti PTPTN kerana hampir 70 hingga 80 peratus pelajarnya bergantung kepada dana pinjaman berkenaan.

Dana pinjaman yang diterima pelajar diguna membayar yuran pengajian bukanlah mutlak sepenuhnya masuk ke kantung kewangan universiti. Sebahagian dana itu dipulangkan bagi kepentingan pelajar, termasuk penyediaan kemudahan P&P, kemudahan dan prasarana. IPTS bukanlah organisasi tamak untuk mencipta keuntungan berlipat ganda. Sejak beberapa tahun beroperasi IPTS terpaksa ditampung menerusi dana asnaf fisabilillah disalurkan syarikat induk Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dalam bentuk pembiayaan geran tahunan untuk membiayai gaji dan emolumen kakitangan. Hakikat ini tidaklah difahami oleh kumpulan serpihan pelajar yang berdemonstrasi menuntut penurunan harga yuran pengajian.

Ditelan mati emak, diluah mati bapa. Pepatah ini sesuai untuk menggambarkan IPTS yang berada dalam kedudukan serba salah. Melayan dan menerima sepenuhnya tuntutan pelajar agar menurunkan yuran pengajian pada analisis akhirnya pasti menjejaskan operasi pengurusan. Menolak tuntutan itu pastilah meletakkan pengurusan ditohmah kononnya mengetepikan prinsip keadilan, tamak, boros dan sebarang kutukan lain bukan saja oleh pelajar berkepentingan sempit seperti GMS, tetapi mungkin sesetengah ibu bapa yang tidak memahami situasi sebenar perjalanan operasi sesebuah IPTS.

Jika dibiarkan perangai dan gelagat kelakuan anak muda ini, ia ibarat kaduk naik junjung, ular lidi menjadi naga. Kebebasan bukanlah mutlak kerana di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Mereka yang menebar angin pastilah menuai badai. Tindakan pelajar berhimpun secara tidak bertanggungjawab perlu menerima hukuman setimpal mengikut hukum dan ketetapan peraturan undang-undang. Mereka menjejaskan sebuah kehidupan kampus yang harmoni. KUIS bermula sejak 1995 sebagai sebuah kolej, sebuah entiti yang kecil, serba sederhana, dan menumpang premis di sebuah sekolah di Shah Alam. Hanya pada 2002, KUIS berpindah ke kampus tetap di Bandar Seri Putra, bangunan yang dibina hasil inisiatif kerajaan Selangor ketika itu.

Pada 2004, KUIS dinaik taraf sebagai sebuah Kolej Universiti menerusi sedikit keberanian dan iltizam untuk turut sama memacu agenda pendidikan tinggi negara. Kini ia dalam proses permohonan untuk dinaik taraf sebagai sebuah universiti penuh.

Segelintir ahli GMS ini menampilkan wacana tohor, serba dangkal dan minda terkepung apabila menggerakkan segelintir mahasiswa untuk berdemonstrasi. Ibarat meludah ke langit, terkena batang hidung sendiri, menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri. Kejahilan adalah kezaliman. Agenda perjuangan kumpulan serpihan GMS hambar, kosong, tidak bermaya, tidak langsung berguna dan bermakna.


Oleh Mohd Shah Abdullah

Timbalan Rektor Pembangunan Korporat dan Pengantarabangsaan KUIS

http://www.bharian.com.my/Wednesday/Rencana/20091125005743/Article/index_html

No comments: