APA ITU PEPIAS???

PEPIAS merupakan akronim daripada nama Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan mana sebelum ini dikenali sebagai Persatuan Kebajikan Dan Pendidikan Islam Selangor Darul Ehsan.
PEPIAS telah bertapak sebagai penubuhan yang sah pada tanggal 1 OKTOBER 1992 setelah mula bergerak sejak 1971.


PEPIAS berasaskan DUA GAGASAN iaitu KEBAJIKAN dan PENDIDIKAN ISLAM. PEPIAS lebih menumpukan kepada sasaran sekolah rendah dan sekolah menengah. "meluntur buluh biar dari rebungnya".

PEPIAS telah mempunyai 7 cawangan berdaftar yang mana salah satunya ialah PEPIAS Cawangan Bangi yang bertapak di KUIS, Bangi.

Sunday, August 15, 2010

FInal Exam!!!

Bismillahirrahmanirrahim

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Bermula 16 Ogos hingga 4 September 2010, mahasiswa-mahasiswa Kuis akan menghadapi peperiksaan akhir tahun bagi semester ini.

Kami dari PEPIAS BANGI mengucapkan semoga anda semua dapat menjawab soalan-soalan peperiksaan dengan baik dan mudah.

Kami juga berharap anda semua mendoakan kejayaan kita bersama.

Sesiapa yang mendapat dekan, kekalkan lah rentak anda, yang kurang memuaskan, pertingkatkan lah kecemerlangan anda. Apa yang pasti, anda mampu megubahnya.

Buat ahli-ahli PEPIAS BANGI sekalian, janganlah jadikan medan yang anda ceburi sebagai penghalang kejayaan anda. InsyaAllah, rezeki Allah ada di mana-mana sahaja.

Jangan lupa study. Sekiranya tidak faham, tanyalah ahli keluarga kita ini.

Belajarlah sungguh-sungguh. Tapi janganlah memudaratkan diri sendiri.

Good Luck!!

Saturday, August 14, 2010

Sekolah Ramadan


Alhamdulillah, Ramadan menjelma lagi. Bulan yang dinantikan oleh setiap insan beriman. Ramadan sewajarnya menjadi madrasah (sekolah) tarbiah yang mampu menjana perubahan.

Sesiapa yang mengimarahkan madrasah ini, nescaya kejayaan dan pengampunan menjadi miliknya. Manakala golongan yang mengabaikannya, kecelakaan dan laknat Allah bakal menghantui kehidupannya.

Malaikat Jibril pernah berdoa kepada Allah: Celakalah bagi golongan yang bertemu dengan bulan Ramadan, tetapi setelah berpisah dari bulan tersebut, dosanya tidak diampunkan. Dan Nabi SAW mengaminkannya. (Hadis riwayat al-Bukhari, al-Adab al-Mufrad).

Apabila didoakan oleh Jibril - makhluk yang tidak pernah menderhakai Allah - dan diaminkan oleh Muhammad insan terpilih, keberkatannya tidak perlu diragui lagi.
Oleh itu menghidupkan Ramadan dengan amal soleh merupakan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh umat Islam seluruhnya.

Kelebihannya dinyatakan oleh Nabi Muhammad: "Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." (hadis riwayat Muslim).
Cuma perkara yang agak menyedihkan adalah kegagalan sebahagian masyarakat Islam hari ini dalam menilai keutamaan. Apa yang paling utama dalam kehidupan?

Apa yang paling utama dalam amal kebaikan? Apa yang paling utama dalam ekonomi? Apa yang paling utama dalam politik? Kegagalan ini menyebabkan hidup manusia tidak terarah.

Abai fardu, utamakan tarawikh

Jika dilihat dalam realiti kehidupan hari ini, nafsu diutamakan dari segala-galanya. Hampir setiap hari, ada saja berita tentang pembuangan bayi.

Bahkan antara tahun 2005 hingga 2010, sebanyak 407 kes pembuangan bayi seluruh Malaysia direkodkan. Inilah akibatnya apabila nafsu diutamakan.
Kehidupan manusia seolah-olah tiada nilainya, sedangkan Allah memuliakan status kita di dalamAl-Quran, firman-Nya:

"Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkat mereka di daratan dan di lautan, Kami berikan mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan." (al-Israk, ayat 70).

Tetapi, apabila nafsu diutamakan, kemuliaan bertukar menjadi kehinaan.
Ada pula di kalangan manusia yang beribadat mengikut nafsunya, seperti solat terawikh lebih diutamakan dari solat fardhu secara berjemaah. Solat subuh dua rakaat berjemaah diabaikan, tetapi solat terawih 23 rakaat berjemaah dilaksanakan.

Bagaimana pula dengan hadis Nabi Muhammad: "Seberat-berat solat atas para munafiqin (orang munafik) ialah solat Isyak dan subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung di dalam dua sembahyang berkenaan, tentulah mereka akan mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak.

"Demi Allah, sesungguhnya mahu sahaja aku memerintahkan orang mendirikan sembahyang berjamaah bersama para hadirin, kemudian aku pergi dengan beberapa yang membawa kayu api kepada orang yang tidak menghadirinya, lalu aku bakar rumah-rumah mereka, sedangkan mereka berada di dalamnya."
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Belum puas syurga dunia

Sayang, seribu kali sayang, apabila nafsu didahulukan, amal ibadat turut hilang kualitinya.

Begitu juga dari sudut politik dan ekonomi; apabila nafsu diutamakan manusia pasti dijangkiti penyakit "al-wahnu".

Sabda Nabi Muhammad: "Hampir tiba suatu zaman di mana musuh-musuh kamu akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang kelaparan mengerumuni hidangan mereka."
Maka salah seorang sahabat bertanya: Adakah kerana jumlah kami yang sedikit pada hari itu?

Nabi Muhammad menjawab: "Bahkan, pada hari itu jumlah kamu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di lautan, dan Allah akan mencabut 'rasa gentar' dari hati musuh-musuh kamu terhadap kamu, dan Allah akan melemparkan ke dalam hati kamu penyakit al-wahnu."

Seorang sahabat bertanya: "Apakah itu al-wahnu itu, ya Rasulullah?"

Rasulullah menjawab, "Cinta dunia dan takut mati." (hadis riwayat Abu Daud dan Ahmad)
Kesihatan dijaga bukan untuk mendekatkan diri dengan Allah, tetapi kerana masih belum puas menikmati syurga dunia. Hasilnya, halal haram diketepikan. Perebutan kuasa dan harta kekayaan menjadi penghalang besar bagi kejayaan umat Islam hari ini.

Politik syariat, politik haram


Kerana pangkat manusia bermusuhan dan kerana wang manusia sanggup berbunuhan. Bahkan kerana wang manusia menghalalkan apa yang Allah haramkan. Berani sungguh manusia.

Takutlah kepada firman Allah: "Dan golongan kiri, siapakah golongan kiri itu. Dalam (seksaan) angin yang amat panas dan air panas yang mendidih, dan dalam naungan asap yang hitam. Tidak sejuk dan tidak menyenangkan. Sesungguhnya mereka sebelum itu hidup bermewah-mewahan. Dan mereka terus-menerus mengerjakan dosa yang besar." (al-Waqi'ah, ayat 42-46).
Sayangnya, nafsu terus diutamakan.
Islam tidak memisahkan antara politik dengan agama. Cuma Islam membezakan antara politik yang disyariatkan dan politik yang diharamkan. Bahkan Islam meletakkan garis panduan dalam pemerintahan agar hubungan antara pemimpin dan rakyat terjalin, dan hubungan makhluk dengan Allah terpateri.

Cuma, suasana politik hari ini diwarnai dengan pelbagai noda dan dosa. Fitnah-memfitnah, umpat-mengumpat, rasuah, politik wang, gila kuasa, sombong, angkuh, hilang amanah menjadi darah daging sebahagian ahli politik kini.

Mengapa berlaku sedemikian? Jawapan mudah, kerana kelemahan akidah. Mana mungkin orang yang beriman kepada Allah dan Rasul dengan sebenar-benarnya melakukan amalan-amalan keji di atas. Ini kerana orang yang beriman, mengenali Allah dengan sebenarnya.

Apabila Allah dikenali, kekuasaannya digeruni, kalamnya diimani, maka peribadi seseorang dapat dibentuk dan dibendung. Jika setiap individu dapat dibentuk, sudah semestinya negara dapat ditadbir dengan baik dan cemerlang di samping kekuatan rohani dan jasmani serta iringan keredhaan dari Allah.

Oleh itu, manusia mesti sanggup berubah untuk mengubah. Firman Allah: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri." (al-Ra'du, ayat 11).

Pemurnian akidah


Perkara yang mampu menjana perubahan terbesar dalam masyarakat adalah pemurnian akidah dari sebarang unsur syirik, khurafat, bidaah dan tahyul.

Permurnian akidah bukan sahaja mampu mengubah kehidupan manusia bahkan menjadi penentu kepada penempatan manusia samada di syurga atau neraka.
Sabda Nabi: "Setelah penghuni syurga masuk ke syurga dan penghuni neraka masuk ke neraka, Allah berfirman: "Keluarkan dari neraka orang-orang yang di dalam hatinya terdapat seberat biji sawi iman." Maka mereka pun dikeluarkan dari neraka." (hadis riwayat al-Bukhari).

Subhanallah, hanya iman seberat biji sawi manusia beroleh kejayaan kekal abadi. Bayangkan jika kesedaran tentang pentingnya iman bermula dari hari ini, di saat ini.
Dunia pasti berubah.

Firman Allah maksudnya: "Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amalan yang soleh bahawa Dia benar-benar akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa.

"Mereka tetap menyembahku-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang yang fasiq
." (al-Nuur, ayat 55)
Mungkin ada yang berkata, apa kaitan politik, ekonomi, akhlak dengan pemurnian aqidah? Saya katakan, ilmu akidah yang paling penting adalah tauhid, ilmu yang membahaskan tentang etika dalam mengesakan Allah.

Sekiranya manusia gagal dalam memahami etika-etika ini, sudah tentu dingin hubungannya dengan Allah. Bahkan rasuah, kezaliman, caci-maki, riba, buang anak dan sepak terajang politik hari ini berlaku kerana manusia kurang mengenal serta tidak beretika dalam mengesakan Allah.

Pelaris, berkat perniagaan


Sebahagian kedai makan pada hari ini contohnya masih lagi bergantung kepada pelaris-pelaris untuk melariskan jualannya.

Begitu juga terdapat taukeh kedai makan tertentu yang sanggup menziarahi "keramat" (tanah perkuburan) untuk memohon berkat dan kejayaan perniagaannya.
Sedangkan Allah memerintahkan supaya kita memurnikan pergantungan hanya kepada-Nya.

Firman Allah, maksudnya: "Hanya kepada Engkaulah kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan." (surah al-Fatihah, ayat 5).

Surah yang dibaca sehari semalam 17 kali dalam solat, tetapi sayang manusia masih tidak beretika dalam mengesakan Allah.
Mengapa para sahabat Rasulull sanggup mati kerana Allah? Jawabnya, kerana mereka mengenal Allah, bergantung sepenuhnya kepada Allah dan benar-benar yakin dengan janji-janji Allah.

Kisah 'Umair bin al-Humam yang mendengar sabda Nabi Muhammad: "Bangunlah kalian menuju syurga Allah yang luasnya seperti langit dan bumi."

Terdengar ucapan tersebut, Umair bertanya: "Benarkah, keluasannya seperti langit dan bumi?"


Murnikah akidahku?


Nabi bersabda: "Ya."

Beliau lantas menyebut: "Bakhin bakhin (sebutan yang menggambarkan rasa pengagungan)."

Nabi bertanya: Apakah yang menyebabkan engkau berkata sedemikian?

'Umair menjawab: "Kerana aku ingin menjadi ahlinya." (hadis riwayat Muslim).
Lihatlah keyakinan para sahabat Nabi terhadap janji-janji Allah. Bagi orang yang beriman walau syurga tidak dilihat, keyakinan di hati tetap terpahat.

Oleh itu, tepuk dada dan tanya kepada diri sendiri: "Murnikah akidahku?"
Fathul Bari Mat Jahya merupakan Graduan hadis daripada Universiti Islam Madinah dan Universiti Yarmouk Jordan itu kini sedang menyiapkan tesis PhD dalam bidang yang sama di Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Beliau kini bertugas sebagai penasihat agama di Institut Jantung Negara.

Thursday, August 12, 2010

Ramadhan Al-Mubarak

Assalamualaikum. ..
buat semua sahabat2 PEPIAS,
SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN 1431H \(^.^)/
semoga RAMADHAN kali ini lebih bermakna
Harapan Ramadhan
(RAIHAN)

Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula

Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintahNya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti

Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Kita memohon pada Tuhan diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan diterima amalan

Selangkah demi selangkah...
Dengan rahmatMu oh Tuhanku...
Ku tempuh jua

Sunday, August 8, 2010

TAHNIAH!!!

Salam buat semua....

PEPIAS BANGI mengucapkan segulung tahniah buat senior-senior PEPIAS BANGI yang baru bergraduasi di Istiadat Konvekesyen pada hari Sabtu,7 Ogos 2010.

Antara senior-senior PEPIAS BANGI yang telah berjaya menamatkan jurusan masing-masing ialah Kak Dila, Kak Maz, Kak Rahmah dan ramai lagi.

Semoga kejayaan mereka ini menjadi titik tolak buat sahabat-sahabat untuk mencontohi dan mengambil iktibar sebaiknya. Sesungguhnya turun program tidak akan memudaratkan pelajaran anda sekiranya niat berada di landasan yang betul.

Sekali lagi, PEPIAS BANGI mengucapkan tahniah kepada semua Graduan KUIS 2010.

Friday, August 6, 2010

Alfatihah

Salam semua...

Kami dari PEPIAS BANGI mengucapkan salam takziah dan Al-Fatihah buat keluarga arwah Mohd Firdaus yang merupakan salah seorang ahli PEPIAS BANGI sejak tahun 2009.

Arwah diberitakan kembali ke rahmatullah pada jam 1 ptg lebih pada hari jumaat 6 ogos di tasik KUIS setelah ditemui lemas sedalam 18 kaki.

Semoga roh arwah dicucuri rahmat kehendakNya. Amin. Alfatihah.

Saturday, July 24, 2010

KONSERTO ISLAMI : KEMBARA SATU CINTA

Syaaban dan Kelebihannya

REJAB sudah meninggalkan kita dengan seribu satu kelebihan. Berbahagialah mereka yang mengambil sepenuh kesempatan dari fadhilatnya. Jika diizinkan Allah kita akan berkesempatan bersama Rejab pada tahun hadapan.

Kini muncul pula bulan SYAABAN. Bulan yang berada di tengah-tengah antara Rejab dan Ramadan. Bulan yang juga penuh dengan fadhilat dan keberkatannya.

Hukamak berpendapat, bulan Rejab adalah bulan kesempatan untuk kita meminta ampun dari segala dosa, bulan Syaaban pula adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela manakala Ramadan pulan bulan untuk mengubat hati dan jiwa.

Syaaban bererti berpecah atau bercerai-berai. Ini kerana mengambil sempena peristiwa orang-orang Arab pada bulan tersebut berkeliaran ke merata tempat untuk mencari air. Ada pula berpendapat, Syaaban bermaksud pemisah iaitu pemisahan antara bulan Rejab dan Ramadan.

Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud:

“Tahukah kamu sekelian, mengapa dinamakan bulan Syaaban? Maka umatnya menjawab: Hanya Allah dan RasulNya yang lebih mengetahui.”

Baginda meneruskan sabdanya: “Kerana di dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama).


KEUTAMAAN SYAABAN:

Allah swt mengangkat darjat orang yang menghidupkan bulan ini dengan amalan ibadat. Allah juga banyak mengurniakan rahmat kepada hambaNya. Rasullah bersabda yang bermaksud: “Allah mengangkat amalan-amalan semua hambaNya pada bulan ini.”

Orang yang membesarkan bulan ini dengan beribadat, akan terpelihara dari maksiat. Taubatnya diterima juga terselamat dari mara bencana pada tahun berkenaan. Sabda Rasulullah saw lagi yang bermaksud: “Barang siapa yang membesarkan Syaaban dan bertakwa kepada Allah swt serta taat dan juga menahan diri daripada maksiat, Allah akan mengampuni dosa-dosanya dan menyelamatkannya daripada segala bencana yang berlaku pada tahun itu, juga daripada sakit-sakit.”

Kasih dan ketaatan orang yang beribadat pada tahun itu terhadap Allah akan kekal. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:“Barangsiapa yang menghidupkan malam dua hariraya dan malam pertengahan bulan Syaaban, maka hatinya tidak mati biarpun semua hati mati ketika itu.”

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Saidatina Aisyah Radhiallahuanha, dia telah berkata yang bermaksud: “Adalah Rasulullah saw sering berpuasa hingga kami menyangka bahawa Baginda berpuasa berterusan dan Baginda sering berbuka sehingga kami menyangka bahawa Rasulullah akan berbuka seterusnya. Aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadan dan aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak dari puasanya di bulan Syaaban.”

Nabi saw pernah bersabda yang bermaksud: “ Keutamaan bulan Syaaban ke atas bulan-bulan yang lain adalah seperti keutamaan aku di atas semua nabi-nabi yang lain, sedangkan keutamaan bulan Ramadan ke atas semua bulan yang lain adalah seperti keutamaan Allah Taala ke atas makhlukNya.”

APAKAH AMALAN YANG WAJAR DILAKUKAN DI BULAN SYAABAN?

1. Memperbanyakkan puasa sunat:

i. Dalam Kitab Durratun Nasihin dinyatakan bahawa Rasulullah saw bersabda bermaksud: “ Sesiapa yang berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban, tiga hari pertengahannya dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah swt mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti beribadat tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka matinya seperti orang mati syahid.”

ii. Jika berpuasa sehari dalam bulan Syaaban akan diharamkan tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi taulan nabi Yusof di dalam syurga. Diberi pahala seperti pahala nabi Ayub dan Nabi Daud.

iii Jika berpuasa sebulan pada bulan Syaaban, dipermudahkan Allah kepadanya Sakaratulmaut dan ditolaknya (terlepas) daripada kegelapan dalam kubur, dilepaskan daripada huru-hara Mungkar dan Nangkir, ditutup keaibannya di akhirat nanti dan diwajibkan syurga baginya.

iv. Sesiapa yang berpuasa pada awal Khamis di bulan Syaaban dan akhir Khamis (juga dalam Syaaban) dimasukkannya dalam syurga .(Hadis Rasulullah yang dipetik dari kitab al-Barokah.)

v. Rasulullah saw turut bersabda yang bermaksud: “ Dinamakan Syaaban kerana padanya terdapat kebajikan yang amat banyak dan puasa yang lebih afdal sesudah Ramadan ialah puasa bulan Syaaban.”

1. Perbanyakkan doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah saw:

Sabda Nabi saw yang bermaksud: “Barang siapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertakwa kepada Allah, taat kepadaNya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah swt akan mengampuni segala dosanya dan menyelamatkannya pada tahun tersebut dari segala macam bencana dan penyakit.”(Dipetik dari kitab Zubdatul Wa’izhin)

1. Bertaubat:

Bulan Syaaban merupakan bulan untuk kita memperbanyakkan taubat kepada Allah swt.



MALAM NISFU SYAABAN:

Malam 15 Syaaban lebih dikenali sebagai malam Nisfu Syaaban.

Pada malam ini umat Islam sangat-sangat disarankan untuk memanfaatkannya kerana malam ini penuh dengan rahmat dan doa sangat mustajab.

Justeru umat Islam disaran untuk menghidupkan malam ini dengan membaca surah Yassin sebanyak tiga kali selepas solat maghrib.

Begitulah betapa besarnya nikmat dan rahmat Allah kurniakan kepada kita. Rebutlah peluang ini untuk sama-sama kita mendapat keredhaanNya.

Thursday, July 22, 2010

KKPI Selatan


Pada 9-11 Julai telah diadakan Kursus Kepimpinan Pelajar Islam Selangor 2010. Kursus ini telah dibahagikan kepada dua bahagian dan salah satunya bahagian Selatan. KKPI Selatan telah diadakan di Kem Nur Bukit Unggul,Sepang. Kursus ini telah dihadiri seramai 88 orang pemimpin dari 8 buah sekolah. 8 kumpulan telah dibahagikan dimana setiap kumpulan ada 8 orang ahli dengan dibimbing oleh seorang atau dua fasilitator. (Angka 88888 sungguh bertuah ). Fasilitator dan komiti terdiri daripada mahasiswa di daerah Ampang dan Bangi iaitu MMC dan KUIS serta dari pelbagai tempat yang lain.

Berikut beberapa gambar sepanjang KKPI Selatan 2010 yang menggambarkan sepanjang perjalanan program dijalankan :-
















Semoga adik-adik KKPI Selatan ini mampu menjadi pemimpin yang berkualiti pada masa akan datang. Mulakan kepimpinan anda di sekolah masing-masing.

Untuk melihat masa depan negara, lihatlah pemuda zaman sekarang!!!
Ayuh! Bangkitlah pemimpin muda sekalian.

Terima kasih yang terlibat secara langsung mahupun tidak. Hanya Allah akan membalas jasa baik anda semua.


diambil dari www.persadapepias.blogspot.com

Friday, July 9, 2010

PENTINGNYA AHLI GERAKAN HADIR USRAH....



USRAH merupakan ‘Nadi Gerakan’ kerana melalui usrahlah seseorang ahli gerakan Islam ditarbiah bagi menshahihkan aqidahnya, memandu keinginan dan akhlaknya, mendidik sensitiviti serta tanggongjawabnya dan memperjelaskan visi dan misi yang akan dilaksanakan oleh jamaah yang disertainya.

Apa yang menyedihkan, dewasa ini ahli-ahli gerakan lebih seronok hadir program yang besar-besar saperti Seminar, Simposium, Forum Perdana, Kursus-kursus Jatidiri dan Motivasi, Program Kampong Angkat daripada menghadiri Usrah. Abah hairan kenapa orang-orang gerakan mula memandang ringan dan mengabaikan Usrah?

Di zaman Abah mula-mula mengenali Erti Perjuangan Islam dulu ialah melalui majlis Usrah. Disitulah Abah diajar membaca dan memahami Al-Quran. Diajar bagaimana mengikuti sunnah nabi s.a.w. dengan mempelajari seerah nabawiah dan fiqhul Sunnah. Merancang dan membuat kertas-kerja program. Mengadu dan menyelesaikan masalah kebajikan dan kewangan.

Yang lebih utama ialah Usrah dapat mengikat tali al-ukhuwah al-Islamiah. Pendik kata semua yang berkaitan dengan amal jamaiy diajar di dalam usrah dan melalui usrah. Di dalam usrah jugalah Abah diajar bagaimana untuk taat dan theqah kepada pimpinan jamaah. Di dalam usrah jugalah Abah mengenali dan memahami ‘Rukun Bai’ah’ serta ‘Risalahan Ta’alim’. Beramal dengan 20 perkara yang diwajibkan untuk setiap ahli gerakan. Ikut arahan Naqib Usrah. Menghormati dan menjaga maruah dan Imej Jamaah. Mempertahankan Prinsip dan Uslub ‘Amal Jamaah.

Tidak cukup dengan Usrah sahaja, digabungkan pula ahli-ahli Usrah Yunit dalam Usrah Gabungan atau Tamrim atau Muqaiyam atau rehlah. Ada kalanya diadakan Qiamulail, Iftar Jamaiy sambil membaca Al-Matsurat Syugra atau Kubra. Solat sunnat Dhuha dan banyak lagi amalan yang bersifat ‘Kerohanian’ atau bermatlamatkan “mendekatkan diri” atau “Taqarrub ilalLah”.

Tapi itu cerita dulu. Dizaman ini cerita-cerita saperti itu sudah dianggap nostalgia. Sudah tidak relevan lagi. Sudah out of date. Orang-orang tua yang dianggap sebagai veteran dalam gerakan sudah bersikap dingin dengan Usrah. Rasa nak hadir, dia hadir. Rasa tak nak hadir, dia tak hadir. Macam biasa sahaja. Tak rasa bersalah apa-apa. Macam hadir ke majlis tahlil sahaja. Ikut mood dan waktu lapang baru nak hadir. Pihak yang menganjur Usrah selalu bersungut kerana terlebih makanan yang disediakan. Manakala yang hadir pun complain; “ Baik ana gi program ana daripada hadir Usrah. Tak berbaloi. Macam hadir majlis mengajar di Masjid sahaja.” Kata mereka.

Apakah ini petanda bahawa Hari Kiamat sudah dekat….? Kerna salah satu petanda kiamat itu sudah dekat ialah bahawa hilangnya semangat Jihad Fi SabiliLah terutamanya di kalangan Ahli Dalam Gerakan Islam.

Na’uzubillah…..

http://www.facebook .com/note. php?note_ id=1305661669827 24&id=100000961688938


Monday, June 21, 2010

Gambar-gambar INDUKSI PEPIAS BANGI





Inilah serba sedikit gambar-gambar sepanjang induksi PEPIAS BANGI di Surau Darussalim..Semoga misi dan visi yang didokong bersama akan dapat direalisasikan oleh pimpinan PEPIAS ini dengan mendapat sokongan daripada semua ahli...Seronok mereka kerana disinilah terjalinnya ukhwah yang mantap...

HIDUP PEPIAS BANGI!!!
HIDUP ISLAM!!!

p/s : thanks kak dila atas bantuan sepanjang program..thanks pada PEPIAS Pusat dan semua yang terlibat secara langsung atau tidak.




Tuesday, June 15, 2010

Fadhilat Bulan Rejab

REJAB bulan ketujuh dalam kalendar Islam muncul lagi. Rejab yang bermaksud ta’azim (kebesaran, keagungan, kemuliaan) kerana Allah akan melimpahkan rahmat-Nya dan kemurahan-Nya adalah bulan yang sangat mulia. Pada bulan itu mengandungi peristiwa bersejarah kepada orang Islam di mana berlakunya peperangan Tabuk, pembebasan Al-Aqsa daripada tangan tentera Salib dan ada berpendapat bulan inilah berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad. Tidak kurang juga ramai melihat Rejab sebagai satu bulan spiritual untuk mempertingkatkan ibadat sunat khususnya ibadat puasa.

Tarikan dan seruan yang ditiup ke dalam jiwa umat Islam terutama untuk melakukan ibadat dipengaruhi oleh penyebaran beberapa hadis yang mengandungi fadhilat ibadat di dalam bulan itu. Justeru, Rejab sebagai bulan yang sangat mulia, sewajarnya umat Islam mengambil kesempatan untuk menambah amalan. Banyak hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh sahabat mengenai kelebihan Rejab: Amalan terbaik di dalam Rejab ini ialah berpuasa.

Maksud hadis Rasulullah mengenai kelebihan berpuasa pada Rejab adalah seperti berikut:
Puasa 1 hari – Seperti berpuasa 40 tahun dan mendapat keredaan Allah serta syurga tertinggi.
Puasa 2 hari – mendapat kemuliaan besar daripada Allah dan dilipat gandakan pahalanya.
Puasa 3 hari – dijauhkan dugaan dunia oleh Allah, dijadikan sebuah parit panjang yang menghalangnya ke neraka.
Puasa 4 hari – diselamatkan daripada seksaan akhirat kelak serta fitnah Dajjal.
Puasa 5 hari – aman dari azab kubur.
Puasa 6 hari – dibangkitkan dari kubur dengan muka bercahaya.
Puasa 7 hari – Allah mengunci tujuh pintu neraka jahanam baginya.
Puasa 8 hari – Allah membuka lapan pintu syurga baginya.
Puasa 9 hari – keluar dari kuburnya lalu menyeru “Laailahaillallah” dan tidak ditolak dia dari memasuki syurga.
Puasa 10 hari – Allah memperkenankan semua permintaan dan hajatnya, dijadikan hamparan perhentian di titian Siratul Mustaqim setiap satu batu dan dijadikan dua sayap untuk terbang seperti kilat di titian Siratul Mustaqim.
Puasa 13 hari – Saidina Ali berkata bahawa fadhilatnya seperti puasa 3,000 tahun.
Puasa 14 hari – Saidina Ali berkata bahawa fadhilatnya seperti puasa 10,000 tahun.
Puasa 15 hari – Allah mengampunkan semua dosanya yang lalu di samping menggantikan amalan kejahatan dengan amalan kebaikan. Saidina Ali berkata bahawa fadhilatnya seperti puasa 100,000 tahun.
Puasa 16 hari – dapat melihat wajah Allah dalam syurga dan orang pertama menziarahi Allah di dalam syurga.
Puasa 19 hari – Di bina sebuah mahligai di hadapan mahligai Nabi Ibrahim dan Nabi Adam.
Puasa 20 hari – Allah mengampunkan segala dosanya yang lalu dan melakukan amalan baik dengan baki umurnya.
Sesiapa berpuasa 3 hari dalam bulan ini dan beribadat pada malamnya seperti
- dia berpuasa 3,000 tahun,
- diampunkan baginya 70 dosa besar setiap hari,
- ditunaikan 70 hajat ketika keluar nyawa dari jasadnya,
- 70 hajat ketika di dalam kuburnya,
- 70 hajat ketika terbang suhuf (ketika al-Quran dinaikkan ke langit),
- 70 hajat ketika ditimbang amalannya di Mizan, dan
- 70 hajat ketika melalui titian Siratul Mustaqim.
Berpuasa pada 27 Rejab (Hari Israk dan Mikraj) seperti
- berpuasa 60 bulan pahalanya, jika disertai dengan sedekah seumpama puasa 1,000 tahun.
- Dapat meminum air sungai yang dinamakan Rejab dengan airnya lebih putih daripada susu, lebih manis daripada manisan, lebih dingin daripada salji.
Setiap umat Islam berpuasa pada Rejab seperti mengerjakan ibadat seumur hidupnya.
- Tambahan bersedekah seperti beribadat seribu kali haji dan umrah.
- Dibina untuknya seribu mahligai dengan seribu bilik dan seribu bidadari, lebih cantik daripada matahari seribu kali.
Sedekah pada Rejab seumpama
- sedekah seribu dinar,
- dituliskan kepada tiap helai bulu roma seribu kebajikan,
- diangkat seribu darjat dan
- dihapuskan seribu kejahatan serta dijauhkan daripada api neraka.
Orang yang lemah daripada berpuasa pada Rejab hendaklah bersedekah tiap hari, sekurang-kurangnya sebuku roti.
Kelebihan lain pada Rejab
- Di dalam bulan lain Allah membalas amalan umat-Nya 10 kali, tetapi di dalam Rejab Allah akan membalas amalan umat-Nya 70 kali.
- Sesiapa meminta ampun (beristighfar) pada pagi dan petang 70 atau 100 kali dalam Rejab, diharamkan tubuhnya daripada api neraka.
Rejab bulan Allah,
Syaaban bulan Rasulullah,
Ramadan bulan umat Rasulullah.

Rejab adalah bulan menabur benih,
Syaaban bulan menyiram tanaman,
Ramadan bulan menuai.

Amalan Rejab menyucikan badan,
Syaaban menyucikan hati,
manakala Ramadan menyucikan roh.

Rejab adalah bulan maghfirah (keampunan),
Syaaban bulan syafaat,
Ramadan menggandakan kebajikan.

Rejab adalah bulan taubat,
Syaaban bulan muhibah,
Ramadan bulan dilimpahi pahala amalan yang banyak.

Pahala amalan baik Rejab diganda 70 pahala,
Syaaban diganda 700 pahala,
Ramadan diganda 1,000 pahala.