APA ITU PEPIAS???

PEPIAS merupakan akronim daripada nama Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan mana sebelum ini dikenali sebagai Persatuan Kebajikan Dan Pendidikan Islam Selangor Darul Ehsan.
PEPIAS telah bertapak sebagai penubuhan yang sah pada tanggal 1 OKTOBER 1992 setelah mula bergerak sejak 1971.


PEPIAS berasaskan DUA GAGASAN iaitu KEBAJIKAN dan PENDIDIKAN ISLAM. PEPIAS lebih menumpukan kepada sasaran sekolah rendah dan sekolah menengah. "meluntur buluh biar dari rebungnya".

PEPIAS telah mempunyai 7 cawangan berdaftar yang mana salah satunya ialah PEPIAS Cawangan Bangi yang bertapak di KUIS, Bangi.

Wednesday, April 15, 2009

JAWATAN: KELAYAKAN ATAU NAFSU??

Manusia selalu membina hubungan sosial dengan manusia lain di mana pun dia tinggal dan hidup. Hubungan sosial yang dibentuk ini melahirkan sebuah masyarakat yang berorganisasi dan hidup dalam keadaan yang lebih sistematik.

Dalam sebuah organisasi terdapat mereka yang dipanggil pemimpin dan orang yang dipimpin. Pemimpin memainkan peranan yang cukup besar dalam sesebuah organisasi dan tanggungjawabnya adalah cukup berat dan akan dipertanggungjawabkan oleh Allah tentang tugas dan peranannya sebagai seorang pemimpin.

Jangan sekali-kali meminta untuk menjadi pemimpin sekiranya kita merasakan diri kita kurang berkelayakan untuk memimpin kerana dikhuatiri kita tidak akan dapat menunaikan tanggungjawab yang terpikul di atas bahu kita seandainya kita menjadi pemimpin.

Nabi s.a.w dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari & Muslim pernah bersabda : Maksudnya : “Wahai `Abd ar-Rahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan permintaan maka engkau ditinggalkan (tidak ditolong). Sekiranya engkau diberikannya tanpa permintaan maka engkau dibantu (oleh Allah)” Shahih Al-Muslim: 1791

Dalam hadis ini Nabi melarang keras kita dari meminta jawatan sebagai pemimpin namun bagaimana pula soalnya dengan Kisah Nabi Yusuf yang meminta jawatan? Sebenarnya Nabi Yusuf meminta jawatan dalam keadaan dia layak sedangkan Samurah yang diceritakan dalam hadis ini tidak layak.

Sekiranya Kita Layak Hukum Minta Jawatan Ada 3 Hukum:

Wajib - jika kita tidak minta jawatan itu, menyebabkan berlakunya pengkhianatan, maka minta jawatan adalah wajib

Sunat - jika kita minta jawatan dalam keadaan orang lain pun layak juga, cumanya kita lebih layak dari yang lainnya maka hukum minta jawatan adalah sunat.

Harus - jika kita minta jawatan dalam keadaan kita dan orang lain sama dari sudut kelayakan maka minta jawatan itu adalah harus.

Hukum Mereka Yang Berkelayakan Menolak Untuk Memegang Jawatan Jika sekiranya ada orang lebih layak dan kita tolak jawatan tersebut maka itu adalah yang terbaik namun sekiranya semua tidak layak, hanya kita sahaja yang layak, lalu jika kita tolak juga maka hukum tolak itu menjadi haram.


Memegang amanah sebagai pemimpin ini amatlah besar tanggungjawabnya dan perlu berani menampilkan diri untuk tidak mudah diperkotak katikkan oleh orang lain. Janganlah sekadar menjadi pemimpin yang berfungsi sebagai crowd puller yang mana hanya ingin menonjolkan dirinya untuk menjadi penarik orang ramai bersama-samanya. Tidak ramai pemimpin macam ini, namun kita perlu berhati-hati dengn pemimpin sebegini agar kita tidak menyusahkn orang lain. Pemimpin sebegini hanya ingin tonjolkan dirinya hebat dan mampu buat macam-macam sehingga sanggup mengeluarkan duit sendiri, sanggup korbankan masa dan tenaga dan sebagainya.

Dalam PEPIAS ini, pemimpin sebegini telah mungkin ada dan hampir menyusahkan semua orang. Keadaan sebegini harus kita tangani secepat mungkin agar musibah dan fitnah buruk tidak berlaku. Pernah saya berbincang dengan senior PEPIAS mengenai keadaan pemimpin macam ini. Walaupun sudah kita didik dan perbaiki kelemahan namun dengan sifat mahu menarik perhatian orang ramai dalam keadaan merajuk dan menunjukkan diri hebat, maka perlu ada penyelesaian agar pisang tidak berbuah dua kali dalam PEPIAS.
Dalam buku usrah Golongan Tercicir ada dikatakan mengenai sekiranya terdapat ahli atau pemimpin sebegini, sampai satu tahap kita boleh menghapuskannya dari gerakan jemaah kita. Perbincangan mengenai ini perlu ditegaskan dan berani melakukan keputusan.


Kesimpulannya sebelum kita tolak sesuatu jawatan pastikan ada orang yang lebih layak dari kita atau setidak-tidaknya sama layak. Sebelum membuat keputusan untuk merebut sesuatu jawatan hendaklah kita melakukan analisa terhadap diri sendiri terlebih dahulu adakah kita berkelayakan kerana dikhuatiri sebab kita mahukan jawatan hanyalah kerana untuk mencari populariti, publisiti dan menurut hawa nafsu semata-mata.

Fikirlah dengan akal yang sihat dan buatlah keputusan berdasarkan pertimbangan iman sebelum merebut sesuatu jawatan agar kita selamat dari merebut jawatan dalam keadaan kita tidak layak untuk memegangnya.

Nasihat dan peringatan ini ditujukan khas buat saya dan pimpinan cawangan Bangi serta buat sahabat-sahabat pimpinan pusat dan cawangan2 PEPIAS secara umumnya. Minta maaf sekiranya ada yang terasa namun memang sebenarnya saya ingin buat kita semua terasa agar sedar mengenai peranan dan tanggungjawab kita.

Khas dari
Pengerusi Perhubungan Cawangan Bangi

No comments: