B-Berani
Belia seharusnya berani. Berani kerana benar, takut kerana salah. Berani bukan berani yang memBABI BUTA, dan memBUTA TULI. Itu berani yang sia-sia dan bertuankan nafsu. Apa sahaja yang bertuankan nafsu akan diakhiri dengan kekesalan. Biasanya, belia sangat mudah terjebak di antara skala berani benar dan berani babi! Kerana itu, lumrah belia. Darahnya masih muda, masih panas; masih mahu melakukan apa yang tidak pernah ditemuinya, dan dirasainya. Kalau pernah perit berhadapan dengan sesuatu, dan masih mahu lagi merasainya lagi, itulah keberanian. Ia penuh dengan risiko.
E-Emosi
Belia tidak lepas dari terpengaruh dengan emosi. Kebijaksanaan emosi perlukan belaian dari akal yang matang, dan jiwa yang diisi dengan ilmu dan makrifat. Hantaran emosi yang meluap-luap dan rasa empati yang tinggi, menjanjikan belia aktif secara reaktif dan juga proaktif terhadap apa yang ditimpa oleh orang yang punya erti dalam hidupnya. Namun, emosi juga ada tinggi dan rendahnya. Terpulang pada jiwa yang berisi tadi untuk mengawalnya. Emosi boleh jadi hangat; sehangat api cinta laila dan majnun. Emosi boleh jadi dingin; sedingin iceberg yang tidak akan memunculkan diri dan rela tenggelam dan menenggelamkan kapal yang melanggarnya. Ia penuh dengan ketidaktentuan.
L-Latihan
Belia adalah kumpulan manusia yang umurnya masih mentah; Baru lepas dari bangku sekolah, baru kenal dunia, tanpa bekal yang cukup untuk semua perkara. Lantas, latihan dari pelbagai arena dan lapangan harus dibekalkan; walau sekecil mana ia kelihatan; Sedangkan yang emas usianya pun masih kurang pengalaman, inikan pula timah yang mudah dilentur. Latihan yang berkesan dan benar akan menjadikan belia semakin berharga dan bernilai dari kaca mata dunia. Sekiranya jurulatih pula yang beri ilmu Falasi; yakni ilmu sesat dan penipuan, maka itulah juga yang akan ditelan oleh belia ini. Yang pasti, belia harus dikaitkan dengan latihan. Belia yang tidak punya latihan, adalah satu kehinaan atas sifat kehambaan kepada nikmat Muda, dan nikmat Tenaga Fizikal, juga nikmat Akal yang segarn dari yang Esa. Maka, kekallah mereka dalam kejahilan dan kesesatan yang nyata.
I-Idealis
Belia cerdas dengan idea yang segar; penuh optimis dan positif. Yang benar, tetap benar, Yang salah, tetap salah; Tidak ada selok-belok dalam soal keadilan dan kebenaran. BEgitu juga dengan segala yang sifatnya sejagat. Belia tidak ada apa yang perlu diselok-belokkan, kerana tidak ada apa yang perlu dipertahankan. Kenyataan belia adalah tulus dari buku yang dibaca, dan ilmu yang dipakukan oleh jurulatih dan ilmuan yang mengisi jiwa dan akal mereka. Penting untuk bersikap sangat kritis dalam menilai suatu keadaan, sama ada yang baik rupanya, apa lagi yang bobrok lakunya. Sehinggalah ada kepentingan yang dijaga dan dipertahankan secara materialnya, maka, idealisme yang dipertahankan akan menjadi caca merba. Sebentar putar ke sini, sebentar lagi putar ke sana. Sebentar nanti, putar lagi ke sini. Akhirnya, jadilah belia yang fakir ideanya, lemah jiwanya, buntu masa depannya.
A-Aktivis
Belia berkerja lebih cergas dan luar biasa kebiasaannya. Kecergasan yang datangnya dari fizikal yang mantap, serta jantung yang sihat segala urat nadinya; akan menggerakkan segala macam pancaindera dan anggota untuk bergerak. Gerak belia adalah untuk kebaikan sejagat. Gerak belia adalah barisan depan dalam mendepani mana-mana agenda untuk Agama, dan negara. Aktiviti belia tidak pantas dinilai dengan materi yang mewah. Memadai sekadar cukup makan-minum, ada tempat berteduh, cukup tambang bergerak ke destinasi pertempuran. Nilaian materi yang berlebihan hanya akan melembapkan darah dipam ke seluruh anggota. Biarlah lihat belia cergas dengan kebeliaan mereka. Ditahan belia bergerak, samalah menahan arus ombak yang memukul pantai. Datangnya tidak akan sudah. Sifat aktivisme perlu dipelajari, disokong dan didokong oleh umat sekelian alamnya; barulah kepemimpinan masa depan dapat dipertahankan dengan wajar dan akhirnya, Agama dan negara akan dapat dipelihara hingga akhirnya.(insya Allah)
No comments:
Post a Comment